Piala FA: Perak, Kedah dan PKNS FC ke separuh akhir
Pasukan Perak, Kedah dan PKNS FC masing-masing melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi, malam ini.
Pada aksi suku akhir kedua itu, Perak menewaskan Kuala Lumpur dengan jaringan 1-0 sekali gus melayakan mereka ke pusingan separuh akhir dengan kelebihan agregat 2-0.
Bagaimanapun dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, skuad Seladang ditentang hebat pasukan tuan rumah.
Kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan pantas dan pastinya menguji kekentalan di setiap posisi permainan.
Menyedari bekalan yang di bawa ke Kuala Lumpur belum memadai, Perak tampil agresif sebaik wisel sepak mula ditiupkan dengan mendahului gerakan-gerakan serangan ke kubu pertahanan lawan.
Skuad Ibu Kota tidak kurang hebat walaupun lebih banyak bertahan dan cuba mengimbangi permainan dengan serangan balas pantas.
Namun, tuah lebih memihak kepada pasukan pelawat apabila Nurridzuan Abu Hassan berjaya membolosi gawang tuan rumah di minit-minit akhir separuh masa pertama.
Gol melalui rembatan kencang dari luar petak penalti dilakukan Nurridzuan itu sekali gus membawa Perak ke separuh akhir apabila keputusan 1-0 kekal hingga ke akhir perlawanan.
Sementara itu, aksi di Stadium Darul Aman Alor Setar, Kedah, menyaksikan Kedah diikat Sabah dengan keputusan 1-1.
Bagaimanapun, keputusan itu tetap membawa skuad Helang Merah ke peringkat separuh akhir dengan kelebihan agregat 3-2.
Satu lagi saingan melibatkan dua kelab dari Liga Perdana menyaksikan PKNS FC bergaya ke separuh akhir apabila menyingkirkan Sime darby dengan agregat 7-2.
Pada perlawanan di Stadium Hang Jebat Melaka, PKNS FC mendahului lawan dengan jaringan 3-2 selepas menang bergaya 4-0 di gelanggang lawan pada suku akhir pertama sebelum ini.
Sementara itu, satu lagi slot peringkat separuh akhir akan ditentukan melalui pertemuan antara JDT dan PDRM, malam esok.
Pada aksi suku akhir pertama sebelum ini skuad Harimau Selatan mendahului dengan jaringan 1-0 sebagai bekalan dan tekanan kepada The Cops.

