Siapalah kita berbanding FAM, sindir TMJ
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan mengkritik skuad bola sepak kebangsaan atau FAM yang lebih pakar dan berpengalaman dalam sukan itu berbanding pasukannya.
Menurut beliau, FAM telah berjaya dan melaksanakan dengan baik sukan bola sepak Malaysia sejak 30 tahun yang lalu.
"Siapalah kita untuk berkata apa-apa? Seperti Christopher Raj yang merupakan rakan baik Khairy Jamaludin (Menteri Belia dan Sukan) berkata, JDT hanya membeli kejayaan.
"Saya juga ada menasihati semua orang dan jurulatih JDT yang mereka sebenarnya tidak perlu berkata apa-apa mengenai skuad kebangsaan kerana mereka mempunyai jurulatih sangat bagus dan cukup berpengalaman, (Datuk) Ong Kim Swee," katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.
Sebelum ini, ketua jurulatih JDT, Mario Gomez mengeluarkan kenyataan mengkritik kejurulatihan pasukan kebangsaan selepas melihat prestasi pemainnya merosot sebaik kembali berkhidmat untuk Harimau Malaya.
Pada aksi suku akhir kedua Piala FA Sabtu lalu, JDT membelasah PDRM 5-2, namun Gomez tidak berpuas hati dengan dua gol yang dilepaskan anak buahnya.
Tunku Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) berpesan supaya jangan sesekali mempersoalkan FAM.
"Mereka cukup pakar dalam apa yang mereka lakukan. Mereka juga sangat konsisten.
"Saya menyeru kepada semua pihak pengurusan JDT untuk berdiam diri dan hanya memberikan tumpuan kepada tugasan yang perlu kita lakukan," katanya dengan nada menyindir.
TMJ berkata, beliau meminta maaf kepada FAM, Ong Kim Swee, dan Christopher sekiranya dengan tidak sengaja menyinggung perasaan mereka 'orang-orang besar'.
"Siapalah kita untuk berkongsi pendapat atau mengambil berat kepada sebuah organisasi yang sangat berpengalaman, yang penuh dengan orang-orang berpengalaman," jelasnya.
SAYA KECEWA DENGAN SISTEM PASUKAN KEBANGSAANSaya gembira dengan keputusan kami, tetapi saya tidak gembira kerana kami...
Posted by JOHOR Southern Tigers on Saturday, 2 April 2016

