'Labi' perkemas corak serangan Melaka United
Kehadiran pemain tengah Labinot Harbuzi dalam beberapa perlawanan terakhir berjaya memperkemaskan corak serangan Melaka United, akui pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Beliau berkata keserasian pemain import dari Sweden itu atau mesra dipanggil 'Labi', dengan Balsa Bozovic berjaya mengukuhkan jentera tengah pasukan, seterusnya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
"Saya lihat kemasukan Labi selepas pulih daripada kecederaan, memberi perubahan dalam corak serangan. Tanpanya sebelum ini, menyaksikan jentera tengah agak longgar.
"Spaso (Ilija Spasojevic) juga saya lihat lebih berkesan menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan apabila jentera tengah berjaya membantu serangan dengan mencipta banyak peluang," katanya kepada pemberita di Melaka, malam tadi.
Beliau ditemui selepas perlawanan Liga Perdana antara Melaka United dan Kuantan FA malam tadi yang berkesudahan Melaka United menang 3-2 menerusi dua gol Spasojevic dan satu lagi daripada penyerang muda, Nurshamil Abd Ghani.
Dalam perlawanan Liga Perdana menentang UiTM FC pada Selasa lepas, Melaka United menang 3-1 dengan Spasojevic menjaringkan dua gol manakala satu lagi gol dijaringkan Harbuzi.
Mengulas permainan Nurshamil, Mohd Yusoff berkata penyerang berusia 21 tahun itu membuktikan Melaka United memiliki penyerang tempatan yang mampu memberi sokongan kepada penyerang import.
"Dalam perlawanan malam ini Shamil (Nurshamil) hanya memiliki satu peluang dan dia berjaya menyempurnakannya, kita boleh harapkan Shamil jika apa-apa berlaku kepada penyerang import kita," katanya.
Nurshamil yang merupakan anak jati Melaka berasal dari Kampung Paya Rumput, Cheng di sini memainkan watak penting untuk Melaka United menjuarai Liga FAM musim lepas, apabila muncul penjaring terbanyak dengan 15 gol.
-Bernama

