Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kedah, Pulau Pinang sama gagah
Diterbitkan:  Apr 9, 2016 11:39 PM
Dikemaskini: 4:16 PM

Hasrat Kedah mahu mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila diikat Pulau Pinang dengan keputusan seri 2-2, di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.

Walaupun sudah mendahului dengan jaringan 2-1, skuad Helang Merah gagal mempertahankan gawang mereka pada 10 minit terakhir perlawanan.

Darwira Sazan muncul wira skuad Harimau Kumbang apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan mereka di minit ke-86 gara-gara kelekaan barisan pertahanan tuan rumah.

Hantaran lambung Matias Cordoba yang berpunca dari penjuru kiri gawang Kedah bijak ditanduk Darwira menewaskan penjaga gol lawan Mohd Farhan Abu Bakar.

Pada aksi ketujuh Liga Super itu, Kedah dilihat menguasai gelanggang mereka berbanding pasukan pelawat dengan lebih banyak serangan berjaya cipta pada awal permainan.

Seperti biasa, anak buah Tan Cheng Hoe beraksi dengan hantaran pendek dan peranan di posisi tengah dilihat begitu hidup dalam menghantar bola ke kawasan lawan.

Mereka berjaya mendahului Pulau Pinang dengan jaringan mudah penyerang import Liridon Krasniqi pada minit ke-25 yang emnerima hantara lintang Muhad Syafiq Ahmad.

Bagaimanapun, Pulau Pinang yang kini dibimbing pemangku jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid bangkit dengan gol penyamaan menjadikan kedudukan 1-1 melalui jaringan Cordoba enam minit selepas itu.

Namun di separuh masa kedua, permainan lebih seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan dan Kedah kembali mendahului dengan gol kedua Krasniqi di minit ke-60.

Bagi Cheng Hoe, keputusan seri itu memberi kekecewaan dan pengajaran kepada pasukannya.

"Keputusan ini pastinya satu kekecewaan buat pasukan Kedah apabila kita sekadar seri di tempat sendiri.

"Saya harap pemain dapat belajar melalui kesilapan yang dilakukan dan lebih matang untuk mengharungi perlawanan akan datang," katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu keputusan perlawanan lain menyaksikan Perak tumpas kepada Pahang dengan jaringan 4-3 di Ipoh, manakala T-Team berjaya membenam sarawak di Stadium Negeri, Kuching dengan keputusan 2-0.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS