Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TMJ: Tiada siapa ambil berat bola sepak negara
Diterbitkan:  Apr 11, 2016 7:20 AM
Dikemaskini: 11:25 PM

Tengku Mahkota Johor (JTM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertanggungjawab terhadap mutu bola sepak negara.

Beliau turut membantah kenyataan Khairy yang mengatakan bola sepak tempatan kurang berkualiti susulan prestasi merosot pasukan kebangsaan.

Sebaliknya menurut beliau, perkara yang tidak berkualiti adalah menteri-menteri dan persatuan yang hanya tahu menuding jari dan menyalahkan orang lain tanpa pernah mengambil sikap bertanggungjawab.

"Individu yang hanya memikirkan diri mereka sama seperti persatuan-persatuan yang tidak bertanggungjawab. Saya berikan anda contoh berdasarkan fakta dan rekod daripada pasukan teknikal kelab kami.

"Apabila kami memenangi Piala AFC dan Liga Super pada tahun lalu, 60 peratus gol dijaringkan oleh pemain tempatan. Idea yang digunakan oleh JDT adalah mengutamakan pemain tempatan dan meningkatkan kebolehan mereka," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Pemilik JDT itu berkata, sebahagian daripada pemain kebangsaan yang gagal beraksi cemerlang adalah pemain kelab itu sendiri.

"Mengapa? Tanya diri sendiri dan lakukan penyelidikan sendiri. Ia bukannya (salah) pemain, (tetapi) ia adalah organisasi.

"Orang dalam organisasi yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mendidik pemain dan melaksanakan budaya profesionalisme," katanya melalui kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Semua pentingkan poket sendiri

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, ranking bola sepak negara jatuh bukan perkara mengejutkan kerana dengan kualiti pemain dan jurulatih sekarang tidak mampu menjadi lebih baik.

Skuad Harimau Malaysia kini berada di kedudukan ke-174 dunia - juga rekod terburuk sepanjang sejarah bola sepak negara.

Tunku Ismail berkata, beliau sudah memberitahu supaya semua pihak untuk berbincang mengenai cara terbaik untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.

Bagaimanapun katanya, semua orang lebih mementingkan poket mereka sendiri dan sudah terlalu selesa.

"Tiada siapa yang benar-benar mengambil berat tentang bola sepak kita. Anda (Khairy) sebagai menteri perlu mengadakan mesyuarat dan memastikan FAM dan kelab-kelab memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan lagi bola sepak," jelasnya.

Selain itu TMJ berkata, semua pihak perlu memperbaiki bola sepak negara dari sekarang daripada terus menjadi masalah untuk masa hadapan.

"Kita semua bertanggungjawab atas kegagalan bolasepak negara kita. Sekarang kita mempunyai pilihan.

"Untuk membaikinya atau membiarkannya pilihan terpulang kepada anda. Saya hanya berkongsi pendapat ikhlas untuk negara kita dan ini adalah apa yang penyokong mahu.

"Demi rakyat Malaysia yang sayangkan bola sepak dan pasukan kebangsaan, saya ada satu nasihat untuk Menteri Belia dan Sukan, FAM dan persatuan bola sepak (lain). Nasihat saya kepada anda adalah, berikan kepada mereka apa yang mereka mahu.

Susulan kes rasuah melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kehilangan dana RM100 juta turut menyindir Khairy supaya menderma kepada JDT.

"Sebelum saya lupa, dalam hal RM100 juta hilang dari KBS saya amat berbesar hati jika anda boleh menderma seberapa yang ada untuk JDT. Itupun jika masih ada baki.

"Terima kasih diucapkan kepada orang-orang besar dan penting Malaysia," katanya yang turut menyentuh mengenai hak penyiaran pasukan di Liga Malaysia.

Lihat Komen
ADS