Perginya bekas atlet berbasikal negara
Selepas hampir tiga bulan bertarung melawan barah buah pinggang, legenda sukan berbasikal negara, Hamzah Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 20, Shah Alam, pagi tadi.
Allahyarham Hamzah, 76, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya kira-kira jam 11.50 pagi.
Berita pemergian jaguh kategori lebuh raya pada era 1960-an itu dimaklumkan rakan terdekat anaknya kepada Malaysiakini.
Semalam Malaysiakini sempat menziarahi arwah dan bersembang mengenai perkembangan kesihatan beliau.
Anak sulung Hamzah, Muhammad Fawzy (
gambar
) berkata, bekas atlet kebangsaan itu uzur sejak Februari lalu dan mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Katanya, keadaan kesihatan ayahnya dikesan doktor selepas dia mengadu mengalami kebas di bahagian kaki dan rawatan secara kaedah tradisional gagal mengatasi masalah itu.
"Selepas kami dapati sakitnya tidak berkurangan, kami terus bawa ayah ke hospital untuk peperiksaan doktor.
"Pada mulanya doktor mengesan ada ketumbuhan di tulang belakang dan ayah menjalani pembedahan pada hujung Februari lalu," katanya.
Bagaimanapun Muhammad Fawzy berkata, selepas pembedahan itu keadaan Hamzah tidak banyak berubah dan doktor membuat peperiksaan lanjut.
"Kemudian doktor sahkan abah mengidap barah buah pinggang. Ia agak mengejutkan apabila barah tersebut sudah di tahap tiga atau empat.
"Doktor juga memberitahu jangka hayat abah cuma boleh bertahan selama hanya kira-kira tiga bulan," jelasnya.
Baca al-Quran, zikir
Nama Hamzah mungkin kurang dikenali khususnya generasi muda hari ini, malah banyak pihak juga mungkin sudah kurang mengingati jasa yang pernah ditaburkan jaguh berbasikal negara itu.
Memulakan kariernya pada awal usia 20 tahun, Hamzah merupakan atlet berbasikal Selangor dan pernah mewakili Malaysia dalam beberapa temasya sukan.
Antara kejayaan dilakarnya ialah meraih pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Asean di Kuala Lumpur 1963, pingat gangsa Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 (sekarang Sukan SEA) dan pingat perak Kejohanan Berbasikal Asean di Manila 1965.
Karier Hamzah dalam sukan berbasikal berakhir pada penghujung tahun 1960-an selepas beliau membuat keputusan untuk bersara dan berkecimpung dalam seni silat gayong.
Dalam bidang persilatan, Hamzah tidak memilih untuk menjadi atlet sebaliknya terjun ke dunia kejurulatihan seni mempertahankan diri itu.
Dilahirkan pada 31 Oktober 1940 di Batu 11 Kajang, Selangor, Hamzah meninggalkan seorang isteri, Mariam Nordin, 66, dan empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan wanita yang menemaninya sehingga ke akhir hayat itu.
"Sejak tiga empat hari lalu dia kurang bercakap dan kurang selera makan. Kalau mahu apa-apa dia panggillah mak cik.
"Dia minta mak cik bacakan al-Quran atau berzikir, mak cik suapkan air dan makanan," kata Mariam, semalam.
Sementara itu, menurut maklumat daripada keluarganya, jenazah Allahyarham Hamzah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas waktu Asar, hari ini.

