Rio berlumba di litar F1 berbekal ayat Kursi
Sudah menjadi kebiasaan untuk mana-mana atlet melakukan perbuatan yang diyakini dapat memberi kelebihan kepada diri masing-masing ketika bertanding.
Bagi pemandu Formula 1 Indonesia Rio Haryanto, kelaziman baginya di atas litar perlumbaan adalah melekatkan ayat Kursi di kokpit kenderaannya.
Menurut portal berita tempatan amalan itu sudah dilakukan Rio sejak sekian lama dan masih bertahan walaupun kini dia berada dalam kelompok Formula 1.
Ditanya wartawan, Rio memberitahu ayat Kursi itu membuatkan dirinya tenang ketika berlumba.
"Memang sejak dulu saya melekatkan ayat Kursi di kereta," katanya di Casablanca kelmarin.
A photo posted by Rio Haryanto (@rharyantoracing) on
Rio, 23, adalah pelumba kelahiran Surakarta yang mewakili pasukan MRT - Mercedes tahun ini.
Dia adalah pelumba kereta pertama Indonesia menyertai Formula 1.
Di kalangan peminat Indonesia Rio memang dikenali kuat berpegang pada agama.
Kata Rio ayat Kursi itu juga memberi keyakinan tambahan kepadanya untuk bersaing dengan pelumba lain.
Hari ini dan esok Rio akan bersaing di litar lumba di Litar Antarabangsa Shanghai di China.
Ia bukanlah asing kepada Rio kerana litar berkenaan pernah menjadi gelanggangnya ketika dia berlumba untuk Formula Asia pada 2008.
Pusingan kelayakan akan berlangsung pada petang ini dan perlumbaan sebenar di litar sepanjang 5.45 kilometer itu diadakan pada jam 2 petang (waktu tempatan) pada Ahad.

