Debat mengenai kemerosotan bola sepak Malaysia wajar dilaksanakan secara terbuka berikutan prestasi hambar skuad negara ketika ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, perkara itu telah lama diuar-uarkan namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak bagi mengadakan debat terbuka itu.

"Saya fikir tajuk itu patut dibincangkan sebab perkara ini dah lama sangat. Semua bercakap mengenai prestasi bola sepak negara. Dua tiga tahun dahulu ketika kontroversi saya kena gantung bincang benda tu juga, (tapi) daripada situ sampai sekarang tiada perkembangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Mesra Siswa Perdana 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok di Kota Bharu hari ini.

Majlis yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak itu turut disertai kira-kira 800 pelajar universiti awam.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini dilaporkan mencabar beberapa individu penting dalam bola sepak negara untuk mengadakan perdebatan termasuk secara langsung di televisyen berkaitan isu kemerosotan sukan utama itu.

Antara individu yang disenaraikannya termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) B. Sathianathan.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata FAM perlu membuat perancangan yang lebih tersusun untuk mengatur perlawanan dengan negara-negara anggota Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bagi memperbaiki ranking negara ketika ini.

"FIFA ada perancangan dua tahun lebih awal bertujuan untuk beri peluang kepada negara-negara anggota Fifa mengatur perlawanan (sesama mereka), tapi masalahnya kita tak atur.

"Nak adakan perlawanan kena ada perancangan sebab pasukan negara-negara yang ranking lebih tinggi, tak nak main dengan negara-negara yang rendah kalau kita tak atur lebih awal," katanya.

FAM sebelum ini dilaporkan merancang 10 perlawanan persahabatan antarabangsa untuk skuad kebangsaan dalam usaha memperbaiki kedudukan memalukan Malaysia di tempat ke-174 dalam ranking dunia berikutan kritikan hebat daripada orang ramai terhadap prestasi skuad Harimau Malaysia ketika ini.

-Bernama