Walaupun dikecam pelbagai ekoran nilai cek yang diberikan sebagai hadiah diberikan kepada pemenang program Berbasikal Remaja Malaysia (JCM), Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tetap menganggap ia memberi kesan positif.

Menurut beliau isu JCM yang menjadi viral sebelum ini juga secara tidak langsung memperkenalkan program berkenaan kepada orang ramai.

"(Kesan adalah) positif sebab sekarang ini daripada orang tak tahu program JCM, semua orang sudah tahu.

"Hadiah mungkin kita akan bagi wang tunai, cuma replika cek itu yang menjadi masalah. Jadi (selepas ini) mungkin kita bagi baucar atau benda lain," katanya kepada media pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Khairy berkata, program JCM akan tetap diteruskan dan tidak lagi menawarkan hadiah wang tunai seperti sebelum ini.

"Sebab selama ini sama ada Sportexcel atau pun NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan kita tak bagi hadiah wang ringgit pun, hanya pingat sahaja.

"Jadi tidak menjadi masalah kepada NFDP dan Sportexcel dan atlet kebangsaan hari ini menyatakan bahawa masa mereka pelapis dulu mereka tak dapat apa-apa wang ringgit, cuma dapat pingat dan paket Milo saja.

"Tak ada masalah kepada mereka, jadi tak ada isu," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai dakwaan program JCM di Serdang 9 April lalu membabitkan peruntukan RM2 juta, Khairy berkata jumlah itu adalah dana keseluruhan program.

Katanya, peruntukan itu termasuk 16 siri perlumbaan seluruh negara, basikal, peralatan dan termasuk kos peserta yang terpilih untuk sertai perlumbaan di luar negara.

"Jangan salah fahamlah. Ia bukan hanya peruntukan untuk di program di Serdang sahaja, tetapi keseluruhan program," katanya.