Malam tadi sah sudah - masa untuk Aston Villa bersaing dalam liga teratas bola sepak England berakhir selepas 28 tahun bersaing di dalamnya.

Dengan kekalahan 0-1 kepada Manchester United Villa kekal berada di kedudukan terbawah EPL dengan hanya mengumpul enam mata daripada 34 perlawanan.

Kelab itu hanya memenangi tiga perlawanan dan tujuh seri.

Peminat Villa pasti berharap ketiadaan mereka dalam EPL hanya bertahan untuk seketika dan kembali mencabar pada musim 2017/18.

Bagaimanapun tidak semua kelab EPL yang diturunkan ke liga bawah mampu bangkit kembali.

Berikut 13 kelab yang disingkirkan ke liga bawahan dan kelihatan bagai terkena sumpahan kerana gagal menyengat.

Oldham Athletic (1993/94)

Salah satu kelab 'pelopor' EPL apabila ia diwujudkan pada 1992. Pada musim berikutnya kelab ini tidak mampu bertahan dan berada di kedudukan kedua terbawah dan diturunkan ke liga kedua.

Malang terus bertimpa apabila kelab ini diturunkan ke liga ketiga dan masih di situ hingga kini.

Swindon Town (1993/94)

Suatu ketika dulu kelab ini mengejutkan ramai apabila mengalahkan Leicester City 4-3 dalam perlawanan playoff di Wembley.

Namun tidak banyak kenangan manis untuk dibanggakan penyokong mereka. Pemain merangkap pengurus, Glenn Hoddle berpindah Chelsea dan melepaskan tugasnya kepada John Gorman.

Mereka hanya mencatat lima gol dan melepaskan puluhan gol.

Prestasi Swindon Town tidak pernah stabil dan sekadar naik turun antara liga kedua dan ketiga.

Barnsley (1997/98)

Layak ke EPL pada 1997 tetapi antara detik mengaibkan mereka ialah tumbang 0-6 kepada Chelsea dalam perlawanan kedua di gelanggang sendiri.

The Tykes (gelaran Barnsley) menghabiskan sebahagian besar musim itu dengan berada di kelompok tiga terbawah liga sebelum tersingkir ke liga kedua di penghujug musim.

Kini mereka bermain di liga ketiga England.

Sheffield Wednesday (1999/2000)

Selepas sembilan tahun dalam EPL, hayat Sheffield Wednesday berakhir pada 2000 dan sejak itu mereka gagal 'timbul' kembali.

Wigan Athletic (2012/13)

Dibiayai hartawan tempatan Dave Whelan, Wigan merasai saingan utama bola sepak pada 2005 dan berada di tempat ke-10 di hujung musim.

Di bawah Roberto Martinez ( gambar ) Wigan gagal diselamatkan dan tersingkir pada 2013.

Gagal dalam perlawanan play off menafikan peluang mereka kembali pada musim berikutnya dan menggelongsor ke liga ketiga.

Ketika ini Wigan dikendali Gary Caldwell dan ada kemungkinan diangkat ke liga kedua pada hujung musim nanti.

Wimbledon (1999/2000)

Berada dalam kelompok utama bola sepak pada pertengahan 1980-an Wimbledon akhirnya tersingkir kerana gagal bertahan pada 2000.

Antara isu yang membelenggu Wimbledon adalah rancangan memindahkan kelab itu ke Dublin dan empat tahun dibelenggu kontroversi, mereka akhirnya ditempatkan semula ke Milton Keynes.

Wimbledon kemudian terperangkap di antara rancangan membina stadium baru dan diketepikan peminat sendiri dalam proses berkenaan.

Dengan stadium baru tiada mana-mana kelab EPL dapat bermain di situ (kerana Wimbledon tidak bersaing dalam liga utama).

Coventry City (2000/01)

Pada 1990-an beberapa kejayaan dilakar untuk membebaskan diri daripada disingkirkan, nasib akhirnya menghukum mereka selepas 34 musim dalam liga utama.

Lebih sedekad mencuba, belum nampak Coventry mampu menyertai EPL sekali lagi selain diturunkan ke liga kedua sejak 2012.

Bradford City (2000/01)

Kemasukan Bradford ke EPL pada 1999 dianggap sensasi selepas musim sebelumnya mereka ditimpa nasib malang.

Pada musim kedua Bradford pun terpaksa akur dengan nasib mereka untuk kembali ke liga kedua. Dan pada 2004 mereka terpaksa pula bersaing di liga ketiga.

Selepas 12 tahun barulah Bradford 'bernafas' lebih lega dan bersaing di liga kedua semula.

Leeds United (2003/04)

Selepas mencuri perhatian ramai, Leeds melakukan kejutan apabila tumbang dan terus hanyut di peringkat liga bawahan. Ia berlaku kira-kira 36 bulan selepas mereka bersaing di separuh akhir Liga Juara-juara menghadapi Valencia.

Ketika diturunkan ke liga kedua, Leeds menanggung hutang £100 juta (RM554 juta).

Bergelut dalam langkah berjimat-cermat Leeds merudum pula ke liga ketiga pada 2007 sebelum kembali ke liga kedua pada 2010.

Portsmouth (2009/10)

Lima belas tahun selepas kali terakhir bermain dalam EPL, Pompey kembali ke liga utama pada 2003.

Tujuh tahun kemudian dengan masalah pentadbiran kelab itu tenggelam ke liga bawahan. Bukan sekali tapi dua kali lagi dalam tempoh tiga musim berikutnya.

Pompey kemudian bersaing di liga keempat bola sepak England.

Fulham (2013/14)

Hartawan Mohamed Al-Fayed membeli Fulham dan membawa kelab itu ke EPL dari bawah dalam tempoh empat tahun saja.

Selepas 13 musim dalam EPL - termasuk bersaing dalam Liga Europa pada 2010 - Fulham akhirnya kembali ke bawahan dua tahun lalu.

Dibelenggu masalah kewangan Fulham kini berdepan risiko tercicir ke liga ketiga.