Leicester 'lemas' ketika Spurs kian ghairah
Kemenangan 4-0 Tottenham Hotspur mengatasi Stoke City bakal menambah tekanan ke atas Leicester City yang sekadar seri 2-2 dengan West Ham United kelmarin ketika The Foxes cuba menyempurnakan impian multak mereka menjadi juara EPL musim ini.
Berbanding sebelum perlawanan minggu ini Leicester mendahului Spurs dengan tujuh mata.
Bagaimanapun dengan keputusan terbaru jurang kedua-dua pasukan dirapatkan kepada hanya lima mata.
Spurs kini di tempat kedua dengan 68 mata manakala Leicester di depan dengan 73 mata.
Melihat kepada jadual yang kini berbaki empat perlawanan tidak mustahil Spurs membuat 'pecutan' di saat-saat terakhir jika anak buah Claudio Ranieri gagal bertahan.
Selepas ini Spurs berdepan West Bromwich Albion, Chelsea, Southampton dan Newcastle berbanding Leicester akan menghadapi Swansea City, Manchester United, Everton dan Chelsea.
Di atas kertas cabaran dihadapi Spurs - secara bandingan - adalah lebih mudah kerana hanya Chelsea yang dilihat berpotensi menggagalkan misi Mauricio Pochettino (
gambar
) mengembalikan kegemilangan pasukan itu yang pernah disegani pada era 1980-an.
Untuk mendepani United dan Chelsea, Leicester terpaksa berperang di kubu lawan dan biasanya semangat sesebuah pasukan akan lebih membara jika bermain di tempat sendiri.
Maki hamun pengadil
Perlu diingat Chelsea yang akan dihadapi Leicester nanti bukanlah lagi skuad The Blues di bawah Jose Mourinho.
Everton juga tidak boleh dipandang sebelah mata oleh Leicester. Di tangan Roberto Martinez, Eveton The Toffees boleh mengancam pada ketika yang betul.
Everton kini berada di tempat ke-11 liga.
Salah satu pasukan yang akan mencabar Spurs pula ialah Newcastle yang kini masih bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.
Dalam perlawanan malam tadi Spurs membenam Stoke apabila Harry Kane dan Dele Alli masing-masing menyumbangkan dua gol.
Lebih membimbangkan Leicester, senjata paling ampuh mereka Jamie Vardy mungkin berdepan penggantungan dua perlawanan selepas FA England memfailkan dua pertuduhan salah laku terhadapnya.
Satu daripadanya ialah kelakuan Vardy mengherdik pengadil Jonathan Moss kerana memberikan kad merah kepadanya dalam perlawanan menentang West Ham.
Leicester turut dituduh gagal mengawal kelakuan pemainnya dalam perlawanan tersebut.
Vardy dilayangkan kad kuning kedua kerana sengaja menjatuhkan diri dalam kawasan penalti lawan untuk mengelirukan Moss kononnya dia dikasari Angelo Ogbonna.
Dia kemudian menunjukkan isyarat lucah serta memaki Moss sebelum keluar meninggalkan padang.
Menurut undang-undang FA England Vardy mempunyai masa sehingga Khamis untuk membuat rayuan sebelum dihadapkan ke suruhanjaya penilai bebas.

