Pemain skuasy wanita nombor dua negara Delia Arnold tidak mahu terburu-buru meletakkan sasaran pada Kejohanan Skuasy Dunia Wanita di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Pemain yang kini berada pada ranking ke-15 dunia berkata beraksi di gelanggang sendiri akan menaikkan semangatnya untuk melepasi pusingan pertama pada kejohanan yang akan bermula, Ahad ini.
"Saya tidak mahu terlalu tertekan, mungkin kali ini peluang untuk melepasi pusingan pertama lebih cerah kerana saya akan berjumpa dengan pemain dari pusingan kelayakan tetapi saya tidak boleh berasa selesa.
"Persiapan selama sebulan untuk kejohanan ini berjalan lancar, paling penting adalah persediaan mental yang baik dan keadaan fizikal yang bebas kecederaan," katanya kepada Bernama selepas menjalani latihan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di Kuala Lumpur.
Pencapaian terbaik Delia, 30, ialah menduduki kedudukan ke-12 dunia selepas mengalahkan pemain terbaik dunia seperti Alison Waters dari England, Annie Au dari Hong Kong dan Raneem El Weleily dari Mesir, tahun lepas.
Delia berkata beliau menyasarkan berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia tahun ini.
"Saya perlu bekerja keras untuk memastikan prestasi saya konsisten terutamanya dalam kejohanan sekurang-kurangnya sehingga ke pusingan suku akhir dalam beberapa kejohanan penting selepas ini," katanya.
Pada Kejohanan Skuasy Dunia Wanita bermula minggu ini menyaksikan penampilan pemain nombor satu negara, Datuk Nicol David yang merupakan pilihan kedua kejohanan diikuti Low Wee Wern dalam undian utama.
Kejohanan itu turut disertai pemain nombor satu dunia Laura Massaro dari England, pemain nombor tiga dunia Raneem El Waleily dari Mesir dan Camille Serme dari Perancis yang menduduki tangga keempat dunia.
- Bernama
