Bertemu Johan Cruyff
Malam tadi aku bertemu Johan Cruyff. Susuknya harum semerbak, wajahnya jernih berseri-seri memancarkan ketenangan.
Ada sedikit tanda hitam seakan lebam di dahinya, tanda seorang filsuf bola yang menanduk bola menggunakan kecerdasan fikiran, keikhlasan hati, disokong usaha keras fizikal.
Melihat Cruyff berjubah serba putih dan memikirkan kuburnya masih merah, aku menggigil namun aku tuangkan juga secawan koko panas separuh mati untuknya.
Cruyff datang menghampiriku dan tersenyum.
“Tamadun bola yang hebat itu datangnya daripada filsuf dan ilmuan, bukan kemodenan fizikal dan kemajuan material semata.”
Aku mengangguk.
“Usah kamu mengangguk saja. Kamu harus sampaikan itu. Jangan biarkan berulang episod Tun Dr Mahathir mencandukan gah KLCC kepada rakyat, tapi hakikatnya….”
Dari 10 jadi 5
Aku termenung jauh memikirkan kata-kata Cruyff, seorang filsuf bola sepak terulung yang sehingga ke akhir hayatnya memperjuangkan bola sepak cerdas.
Dia seorang filsuf yang langsung tidak memandang Cristiano Ronaldo atau Maurinho. Seorang filsuf yang datang kepada anak-anak kecil celik bola sepak yang tidak mendapat perhatian sepatutnya kerana hanya boleh menimbang bola sebanyak tiga kali, atau kerana berbadan kecil.
Siapakah filsuf bola sepak di negara ini?
Aku cuba menghitung dengan sepuluh jari. Tidak, aku menukar kepada lima jari. Tapi, aku masih begitu sulit untuk menamakan walau seorang. Mana mungkin hartawan kosmetik diturunkan Tuhan dari langit untuk menjadi filsuf untuk membina tamadun bola sepak kita.
(Tiba-tiba aku terbayang penampilan dan pakaiannya.)
Bayangan pemain dan bekas pemain hari ini yang masih terlibat dalam bola sepak melintasi fikiranku satu demi satu.
Bekas pemain yang menjadi jurulatih - satu kedudukan penting dalam hierarki bola sepak - masih berkata: “Kita bermain dengan baik malam ini. Namun pasukan lawan dapat mengekang asakan kita."
Dia menyambung lagi: "Walaupun begitu bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita berjaya mencuri satu mata malam ini…”
Kenyataan itu dibuat tatkala 70 peratus anak buahnya dalam perlawanan itu menendang bola tanpa menggunakan akal fikiran.
Di mana filsuf itu
Seorang pemain super bintang yang mengetuai barisan serangan pasukan negara pula masih berkata: “Apa boleh buat… saya sudah cuba habis-habisan tapi bola tak mahu masuk juga. Selepas ini saya berazam akan melakukan dengan lebih baik. Kalau tak puas hati juga, kau orang cuba main sendiri…” dan kemudian berlalu pergi dengan sebuah kereta mewah berkuasa tinggi.
Dia menuju ke restoran berasaskan gaya hidup hip miliknya untuk memantau kemajuan perniagaan. Di restoran itu, seorang ratu cantik - iaitu bininya - menyambut dengan senyuman manja, manakala seorang remaja berusia 14 tahun sedang makan di dalam restoran itu bersama keluarga memandangnya sambil berazam untuk menjadikan pemain itu sumber inspirasi.
Di sebuah studio TV, bekas pemain bintang yang dipilih menjadi pengulas masih berkata: “Tendangan yang baik daripada Safiq… (sunyi) oh, penjaga gol berjaya menampan kemas.”
Selepas tamat siaran perlawanan, mereka berbincang tentang kaedah bayaran pengulas jemputan.
Aku semakin buntu. Di mana filsuf yang akan membina tamadun hebat bola sepak kita? Di mana?
Aku cuba merenung bola sepak negara dengan lebih dalam. Bermula sekitar lebih 20 tahun yang lalu hingga ke hari ini, tidak ada khabar yang bermakna tentang bola sepak Malaysia.
Laungan mahu maju
Pantas ada suara dari Selatan menyangkal. Kata mereka, di sana sudah tiga tahun muncul harapan sebenar. Struktur bertaraf dunia telah didirikan di sana yang pasti akan memajukan bola sepak negara.
Sudah ada pemain bertaraf super bintang yang mampu memandu Ford Mustang dengan penghasilan daripada bola sepak. Kita sudah maju tak ubah seperti kelab dan pemain di Eropah. Kita di laluan benar. Jangan cemburu, jangan berhasad dengki! Piala AFC (piala kelas 2.5 Asia) diusap mereka beramai-ramai.
Dan muncul pula suara dari Timur, dari penguasa bola yang lantang (tapi kendur di bawah telunjuk hartawan kosmetik) menyatakan sokongan penuh fenomena di Selatan.
Katanya, itulah yang negara perlukan. Begitulah perubahan yang wajib dilakukan kepada bola sepak negara. Kita harus memajukan bola sepak negara! Lalu beliau sambung mengecat stadium dengan warna merah jambu demi bola sepak negara.
Tiba-tiba pula bertebaran suara dari Utara, Barat, Borneo dan seluruh pelosok tanah air. Mereka juga melaung mahukan kemajuan. Mereka mahu pelaburan berjuta-juta ringgit untuk pasukan mereka atas nama kemajuan dan pemodenan setaraf pasukan-pasukan terkenal dunia.
Tak masuk akal. Umpama monyet yang gigih memaksa diri untuk berdiri kerana mahu bermain bola semacam manusia sedangkan dia boleh berusaha bermain bola dengan bagus sebagai monyet.
Tak perlu bertempik lagi
“Kamu tidak akan dapat seorang filsuf bola sepak selagi kamu tidak bertemu pemain bola cerdas yang bermain bola dengan bagus, hidup seperti 'sami' bola, demi berjaya meletakkan nama dan idea mereka lebih besar daripada apa jenama kereta sekali pun.”
Tidak semena-mena Cruyff berkata-kata. Aku melihatnya dan mendengar dengan teliti.
“Saat kamu mula memiliki filsuf bola sepak maka akan bermulalah sebuah tamadun bola sepak. Generasi pemain bola sepak yang berfikir inilah yang akan membesarkan sesebuah pasukan atau kelab walau dicampak ke mana sekalipun. Tidak perlu ke Selatan hanya untuk dibesarkan seorang penguasa bola yang mendendami skuad JKR.
"Penyokong dan ultras kamu tidak perlu lagi bertempik memaki FAM dari kejauhan.
"Sebaliknya ‘rampasan kuasa’ sebagaimana aku dan konco-koncoku di Ajax Amsterdam akan terhasil oleh generasi pemain bola sepak ini kelak. Mereka sendiri yang akan menghalau tempat pakcik pakcik, ahli politik dan sesiapa saja dalam setiap persatuan dan kelab bola sepak di sini untuk memimpin dengan pengalaman mereka yang pernah membuat keputusan tepat di atas padang di tengah-tengah puluhan ribu penonton di stadium.
"Binalah kemudahan latihan berkuasa nuklear sekalipun, kalau kita tidak memiliki pemain yang berfikir, fokus, memiliki idea bola sepak - atau dengan kata lain, filsuf bola sepak - semuanya akan sia-sia.
"Kalau pun ada rezeki, struktur gah lambang kemajuan itu akan menjadi tumpuan pelancong luar negara untuk bergambar atau diabadikan dalam poskad kenang-kenangan. Kamu menendang bola serupa itu juga.”
Aku mengangguk sebanyak tiga kali.
PIPIYAPONG ABDILLAH HAMZAH editor penerbitan buku di Neon Terbit, Kuala Lipis. Beliau percaya bola sepak harus dimasukkan ke subjek seni di sekolah-sekolah.

