Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan khabar angin beliau mahu membeli kelab bola sepak Itali iaitu AC Milan hanyalah "satu impian".

Menurut pemangku sultan Johor itu, apa yang diberitakan oleh The Straits Times Singapura sebelum ini hanyalah mengenai pencapaian beliau bersama JDT dan matlamat lain dalam hidupnya secara umum.

"Jika saya perlu memilih sebuah kelab, ianya adalah AC Milan. Itulah salah satu impian saya, tetapi itu tidak bermakna saya akan membelinya.

"Ia cuma sebuah kelab yang saya minati dari zaman kanak-kanak. Itu sahaja, jadi untuk menjawab sebarang spekulasi, jawapannya adalah tidak," katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.

Media tempatan semalam memetik laporan akhbar Singapura tersebut mendakwa wujud khabar angin mengenai hasrat Tunku Ismail untuk membeli kelab gergasi Itali itu.

Bentuk skuad lebih mantap

Pemilik JDT itu bagaimanapun menegaskan, beliau "tidak mempunyai duit" untuk merealisasikan impian tersebut.

"Saya tidak akan membeli AC Milan. Saya tidak mempunyai duit untuk membeli AC Milan, tidak kaya seperti ahli perniagaan Malaysia yang lain.

"Saya hanya seorang pemuda dengan impian dan cita-cita yang besar, itu sahaja," jelasnya.

Sebelum ini seorang ahli perniagaan Malaysia Datuk Dr Noordin Ahmad memiliki kelab FC Bari 1908 dan meletakkan sasaran untuk layak bersaing di kejohanan Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun lagi.

Namun sasaran segera FC Bari ialah membentuk pasukan lebih mantap untuk bersaing di peringkat Serie A Itali.

Noordin menguasai kelab berkenaan selepas memperoleh pegangan saham sebanyak 50 peratus dengan perbelanjaan 12 juta euro (RM53.2 juta).

Tambah TMJ, dengan kedudukan JDT yang gagal mengalahkan Kedah dalam liga tempatan, hasrat memiliki AC Milan dilihat lebih sukar.

"Apatah lagi membeli AC Milan dan terpaksa bertembung dengan Juventus dan kelab-kelab gergasi lain di Itali.

"Takut saya. Kelab saya hanya JDT, sebuah kelab kecil dengan cita-cita yang besar," katanya.

JDT pada aksi Liga Super Sabtu lalu sekadar mengutip satu mata apabila seri 1-1 menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar dan kini berada dikedudukan kedua liga.

Skuad Harimau Selatan juga akan beraksi dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 30 April ini berdepan Kedah yang mendahului mereka dengan 1-2 pada aksi separuh akhir pertama 16 April lalu.