'Jangan fikir isu luar padang'
Pemain Kelantan diingatkan tidak memikirkan isu kewangan dan penajaan yang didakwa dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sehingga menjejaskan tumpuan menghadapi pendahulu Liga Super, Felda United FC hari ini.
Sebaliknya, ketua jurulatih Kelantan K Devan mahukan pemainnya memberikan fokus penuh kepada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam ini.
"Jika ada (isu), itu bukan urusan kami...isu luar padang itu adalah urusan pengurusan, biar mereka selesaikan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata pemain Kelantan akan turun menentang Felda United FC dengan semangat yang tinggi selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Terengganu FC baru-baru ini.
Pada masa sama, Devan berkata beliau tidak akan melakukan sebarang rombakan pemain untuk perlawanan hari ini.
Kelantan kini berada di tangga kelima Liga Super selepas mengharungi sembilan perlawanan dengan mengutip 12 mata apabila memperoleh tiga kemenangan dan tiga seri.
Felda United FC pula berada di tangga teratas dengan 21 mata selepas memperoleh tujuh kemenangan dan dua seri.
- Bernama

