Final Piala FA: Tak patut tiada tiket kanak-kanak

   

Mengapa - itu pertanyaan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) terhadap keputusan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tidak menjual tiket untuk kanak-kanak sempena perlawanan akhir Piala FA pada 14 Mei ini.

Presiden SAM Ahmad Khawari Isa berkata keputusan itu dilihat langkah ke belakang FMLLP yang memegang tanggungjawab mencipta keghairahan pada saingan bola sepak tempatan.

“Peruntukan jualan tiket dengan harga lebih rendah untuk kanak-kanak dan pelajar seperti biasa diamalkan sebelum ini harus diteruskan.

"Saya hairan dengan alasan kononnya penjualan tiket sebegitu pernah disalahgunakan kerana tiada langsung laporan mengenainya diketengahkan sebelum ini," katanya (gambar, tengah) dalam kenyataan kepada media hari ini.

FMLLP - entiti yang diberi tanggungjawab mengendalikan liga Malaysia - semalam mengumumkan hanya tiket dewasa berharga RM50 dikeluarkan untuk aksi final tersebut.

Kata FMLLP, tiket kanak-kanak ditidakan bagi mengelakkan penyalahgunaan tiket yang didakwa terjadi pada aksi final sebelum ini.

Menurut Ahmad Khawari, kenaikan harga tiket daripada RM40 kepada RM50 atas alasan untuk menganjurkan pelbagai acara sebelum sepak mula final juga bukan alasan yang wajar.

Katanya, keputusan itu tentu membebankan penyokong yang perlu berbelanja besar untuk hadir menyaksikan perlawanan di stadium.

“Seharusnya FMLLP menggunakan kebijaksanaan menampung kos penganjuran pelbagai program awal itu menerusi penajaan, bukannya menyalurkan kos kepada penyokong menerusi kenaikan harga tiket," katanya.

Ahmad Khawari turut meminta FAM campur tangan dengan mengetepikan keputusan FMLPP berkenaan dan kembali memperkenalkan tiket untuk kanak-kanak dan pelajar.

“FAM tidak harus akur dengan pendekatan ‘keuntungan jangka pendek’ yang menjadi amalan FMLLP kerana ia tidak menggalakkan kehadiran lebih ramai kanak-kanak dan pelajar menyaksikan perlawanan penting," katanya.

Aksi final Piala FA akan berlangsung Stadium Shah Alam mempertemukan pasukan JDT dengan PKNS FC.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.