Ketika jaguh tenis Britain Andy Murray melantik seorang wanita menjadi jurulatihnya, ramai pihak memuji kerana ia satu lagi langkah mengangkat wanita setanding dengan lelaki.

Ia berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Kini Murray sekali lagi membuat pengumuman. Dia dan jurulatih itu - Amelie Mauresmo - mula membawa haluan sendiri kerana masing-masing tidak lagi dapat bekerjasama.

Di satu pihak tugas melatih Murray tidak dapat diseimbangkan dengan kewajipan Amelie sebagai ibu

Amelie mengumumkan - melalui Twitter - pada April 2015 bahawa dia hamil dan empat bulan kemudian pemain tenis kelahiran Perancis itu memberitahu dia melahirkan bayi lelaki.

Amelie, 36, pernah memenangi kejohanan Terbuka Perancis.

Sebelum ini dia membuat perjanjian dengan Murray untuk melatih atlet itu 25 minggu setahun namun sejak memiliki zuriat hanya kira-kira 40 hari mereka berlatih bersama.

Amelie dilaporkan berkata, memperuntukkan masa yang mencukupi melatih Murray dan melalui perjalanan bagi menunaikan tanggungjawabnya "sangat mencabar" untuknya.

Tak mudah bahagi masa

Ahad lalu Murray, 28, kalah kepada Novak Djokovic di perlawanan akhir Terbuka Madrid.

Sepanjang bekerjasama Murray mencatat sejarah sebagai pemain tenis lelaki pertama mencatat kejayaan Grand Slam di bawah kendalian jurulatih wanita.

Walaupun tidak lagi bekerjasama Murray bertegas menganggap hubungan mereka sebagai pemain - jurulatih sebagai "berjaya" walaupun gagal menambah koleksi kemenangan Grand Slam.

"Banyak yang saya pelajari - di dalam atau luar gelanggang - daripada Amelie selama dua tahun ini.

"Ketiadaan Amelie akan dirasai," katanya.

Sementara itu sumber memberitahu tiada masalah wujud antara Murray dan Amelie.

Sebaliknya kata sumber itu pengalaman Murray sendiri yang menjadi bapa sejak Februari lalu membuat dia faham kesukaran dilalui jurulatihnya itu.

Sementara itu bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia Martina Navratilova berkata membesarkan anak perlukan perhatian sepenuh masa.

"Jurulatih juga tugas sepenuh masa, dan anda tidak boleh berada di antara kedua-duanya," kata Martina.