JDT, Bengaluru FC dipisah dua darjat
Kelab India, Bengaluru FC jelas bermain psikologi apabila menganggap pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala AFC esok tidak ubah umpama pertembungan dua darjat.
Pembantu jurulatih kelab itu, Matthew Holland berkata pemainnya yang rata-rata berusia 23 tahun masih kerdil berbanding JDT yang dibarisi ramai pemain bintang, apa lagi beraksi dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di gelanggang lawan, Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, di sini.
"Kami akan menentang pasukan terkuat. Kami perlu bekerja lebih keras daripada biasa untuk perlawanan ini nanti.
"Jadi, kami perlukan waktu untuk melihat kekuatan lawan sebelum dapat mencorak permainan kami," katanya dalam sidang media pra-perlawanan di Johor Bahru, hari ini.
Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Mario Gomez dalam sidang media sama, tidak mahu 'hanyut' dengan pujian yang diberikan Holland, sebaliknya ingin terus melakar lebih banyak kemenangan untuk pasukannya.
"Apa yang pasti, Bengaluru juga adalah pasukan yang hebat dan kita pula tidak boleh merehatkan terlalu ramai pemain utama, walaupun berdepan jadual perlawanan yang ketat.
"Oleh itu, pemain perlu kekal fokus agar dapat menamatkan perlawanan ini dengan tiga mata," tegasnya.
Bagi pemain tengah JDT, Junior Eldstal, pemain perlu mengikut arahan ketua jurulatih untuk mengelakkan sebarang kesilapan, jika mahukan kemenangan.
Pertemuan kali terakhir antara skuad Harimau Selatan dan Bengaluru ialah pada 9 Mac lalu di Stadium Sree Kanteerava, Bangalore yang menyaksikan JDT menang 1-0.
JDT kini menghuni tangga teratas Kumpulan H dengan 15 mata manakala Bengaluru berada di tempat kedua dengan sembilan mata.
-Bernama

