Piala Thomas: Terlalu awal soal ganjaran
"Terlalu awal untuk memperkatakan ganjaran jika skuad negara berjaya membawa pulang Piala Thomas," tegas Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid.
Menurut Mohamed Al-Amin, apa yang penting adalah setiap pemain perlu memberi aksi terbaik mereka sepanjang kejohanan itu berlangsung di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.
"Tidak perlu lihat dari segi ganjaran kerana dengan menyebut mengenai ganjaran, kesannya mungkin berbeza...mungkin akan jadi tekanan pula (kepada pemain).
"Kita (perlu) ambil selangkah demi selangkah. Apabila sampai ketikanya, kalau sekiranya perlu, akan ada cadangan (untuk adakan ganjaran) nanti.
"Apa yang penting, pemain kena fikir bahawa mereka membawa harapan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas sesi bertemu media di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.
Skuad Piala Thomas negara yang diketuai Datuk Lee Chong Wei, diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman.
Selain Chong Wei, turut memikul cabaran dalam perseorangan lelaki negara ialah Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat manakala beregu pula dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Pada edisi 2014, Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada Jepun pada perlawanan akhir yang berlangsung di New Delhi, India. Kali terakhir Malaysia menjuarai Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur.
Sukar tapi boleh
Bagi skuad wanita pula, pencapaian terbaik mereka dalam Piala Uber juga adalah pada 1992, apabila mencatat kemenangan pertama dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan mengejutkan Belanda 4-1.
Pemain beregu campuran, Goh Liu Ying diberi tanggungjawab mengetuai skuad Piala Uber 2016 yang terdiri daripada Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Sonia Cheah, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Amelia Anscelly.
Malaysia yang belum pernah menjuarai Piala Uber, diundi dalam Kumpulan A bersama juara 13 kali China, Denmark dan Sepanyol.
Sementara itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata skuad Piala Thomas dan Uber negara menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang latihan pusat tertutup 10 hari yang diadakan di Stadium Juara.
"Saya tidak rasa kami tertekan. Kami akan ke sana (Kunshan) dan melakukan yang terbaik. Sudah tentu kami mahu layak ke final seperti edisi terdahulu...ia adalah sukar tapi boleh dilakukan.
"Apa yang penting adalah setiap pemain perseorangan dan beregu tahu apa yang disasar untuk mereka, dan jika digabungkan kita mampu layak ke final," katanya.
Skuad Piala Thomas dan Uber negara akan berlepas ke Kunshan esok.
- Bernama

