Polis akan menempatkan 1,428 anggota bagi memastikan final bola sepak Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan PKNS FC berjalan lancar tanpa sebarang gangguan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, pihaknya akan turut dibantu 290 anggota keselamatan lain yang disediakan penganjur dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Penyokong kedua-dua pasukan diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan serta tidak membawa barang larangan masuk ke dalam stadium.

"Polis akan melakukan pemeriksaan badan terhadap setiap penyokong dan akan dibantu unit anjing pengesan di semua pintu masuk stadium sebagai langkah berjaga-jaga," katanya dalam sidang akhbar, di Shah Alam semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam.

Shafien berkata, bagi keselesaan dan kemudahan penyokong, pintu stadium akan dibuka seawal 4 petang dan bagi peniaga pula mereka boleh memasuki stadium pada 12 tengah hari.

"Penyokong PKNS FC akan masuk menggunakan Pintu A manakala penyokong JDT di Pintu C dan D," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua penyokong supaya datang lebih awal ke stadium dan meletak kenderaan di tempat yang disediakan bagi melancarkan pergerakan trafik di sekitar kawasan stadium.

Menurut Shafien, pihaknya bersama MBSA akan menunda kenderaan yang didapati menghalang lalu lintas dan sehubungan itu, pemilik kenderaan perlu mematuhi arahan pihak berkuasa dan penganjur.

"Buat masa ini, semua jalan di sekitar stadium dan jalan masuk ke Shah Alam tidak akan ditutup, namun ia bergantung kepada keadaan semasa dan mengikut keperluan pada hari tersebut," katanya.

JDT mara ke final setelah mencatat kemenangan dengan agregat 4-3 ke atas Kedah manakala PKNS FC menang menerusi agregat 4-3 ke atas Perak.

-Bernama