'Arsenal musim ini sangat aneh'
Penjaga gol Arsenal Petr Cech percaya kelab itu sepatutnya berpotensi cerah menjuaral EPL musim ini jika tidak berdepan dengan masalah "kekurangan tenaga" dalam pasukan berkenaan.
Bercakap kepada laman sesawang arsenal.com Cech berkata kelab itu kehilangan ramai pemain utama - seperti Jack Wilshere, Danny Welbeck, Santi Cazorla dan Francis Coquelin - akibat masalah kecederaan.
Kecederaan itu pula memerlukan masa panjang untuk pulih.
Keadaan itu memaksa Arsene Wenger menggilirkan pemainnya untuk beraksi di padang.
"Akhirnya ia memerangkap pemain ketika waktu kritikal," katanya.
Arsenal pernah berada di kedudukan teratas liga pada awal tahun ini dan dilihat berpeluang cerah menjulang kejuaraan EPL selepas kali terakhir melakukannya pada musim 2003/04.
Pada musim ini semua kelab utama gagal menunjukkan prestasi seperti biasa dengan Chelsea terperosok jauh ke bawah, manakala Manchester United bergelut dengan isu menyesuaikan diri bersama pengurus baru mereka, Louis Van Gaal.
Liverpool juga masih mencari keserasian bersama Jurgen Klopp.
Akhirnya kelab yang tidak pernah diberi sebarang harapan tinggi - Leicester City - dinobatkan sebagai juara.
Menurut Cech musim ini dianggapnya "sangat aneh".
Gilir pemain tak beri kelebihan
"Jika anda lihat jumlah pemain Arsenal yag cedera ia tidak seramai dialami pada musim lalu, atau dibandingkan dengan kelab lain.
"Ia bukan perbezaan ketara tetapi malangnya kepada kami, setiap kali kecederaan berlaku ia memakan masa untuk pulih," katanya.
Bekas penjaga gol Chelsea itu berpendapat Arsenal bermula dengan baik di awal musim dan kelab itu diperkuatkan dengan kemunculan semula Wilshere dan Welbeck yang kembali cergas.
Ketika itu, kata Cech, Arsenal begitu mantap untuk mengharungi musim terbaru.
"Malangnya Jack (Wilshere) dan Danny (Welbeck) cedera sebaik saja kempen kami bermula. Begitu juga dengan Tomas Rosicky, Santi (Cazorla) dan Alex Oxlade-Chamberlain - semuanya perlukan tempoh yang lama untuk pulih," katanya.
Dengan masalah kecederaan ramai pemain utama membelenggu, Cech berkata, tidak banyak yang dapat mereka lakukan.
Pada masa sama kelab lain pula berpeluang mengumpul mata demi mata pada perlawanan masing-masing.
"Kadang-kadang ia akan menjejaskan pasukan dengan teruk. Jika anda perlu bermain tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari dan lawan pula berpeluang berehat enam hari sebelum kami bertemu, sistem penggiliran pemain tidak memberi apa-apa kelebihan," katanya.
Kekurangan itu kata Cech mula dirasai pada Februari dan Mac lalu dan Arsenal mula tercicir mata demi mata pada perlawanan mereka.
"Secara keseluruhan musim ini agak baik walaupun bukan yang terbaik. Walaupun begitu ada banyak perkara positif dapat dipelajari. Harap-harap musim depan kami lebih cemerlang," katanya.

