Pamerkan aksi tercantik wahai JDT, PKNS FC!
Sebelum bola mula bergolek dari titik di tengah-tengah Stadium Shah Alam malam ini, kepercayaan ramai ialah meletakkan JDT bakal muncul juara Piala FA 2016.
Dengan rekod tanpa kalah sepajang musim ini, dengan kejuaraan Liga Super dua musim berturut-turut dan dengan prestij pasukan pertama dari Asia Tenggara muncul juara Piala AFC - peluang skuad Harimau Selatan sukar dinafikan.
Justeru mampukah PKNS FC mematahkan silau taring Harimau Selatan bimbingan Mario Gomez yang begitu konsisten dengan misi mereka sebagai "kuasa baru bola sepak Malaysia"?
Kata seorang komrad bola sepak, di atas kertas JDT akan menang tetapi 'di bawah kertas PKNS FC' ada E Elavarasan (sebagai ketua jurulatih kelab itu).
Ya, pertemuan malam ini adalah soal memburu kejuaraan pertama dalam Piala FA kerana kedua-dua pasukan belum pernah menjulang piala itu.
Tetapi ia juga bukan semata-mata perkiraan tentang kelebihan JDT dan sisi tanpa kalah mereka setakat musim ini.
Tanpa kualiti ia membosankan
Lupakan seketika 'kekurangan' PKNS yang hanyalah sebuah pasukan bertaraf kelab dari Liga Perdana. Hakikatnya dalam status begitu pun mereka membuktikan kewibawaan sendiri dengan melangkah ke perlawanan akhir.
Dan pastinya kepada penyokong pasukan masing-masing, apa yang penting - selain kemenangan - ialah menikmati keindahan permainan sukan nombor satu dunia itu.
Kata legenda bola sepak dunia, Johan Cruyff: "Kualiti tanpa hasil adalah cakap kosong. Hasil tanpa kualiti adalah membosankan".
Justeru janganlah kita meletakkan perlawanan bola sepak sekadar menang atau kalah, juara atau tewas.
Nikmati pergerakan dan kawalan bola, hantaran, kebijaksanaan taktikal, penguasaan, emosi dan mentaliti pemain.
Itulah yang kita perlu harapkan kepada 22 manusia bergelar pemain di atas padang malam nanti. Ia sepatutnya tidak boleh dikompromi kerana bersesuaian dengan status mereka sebagai pemain profesional dan bergaji besar.
Cara menikmati bola sepak hendaknya bukan lagi mendesak pasukan kita melangkah ke final semata-mata. Selain kejuaraan bola sepak perlu dinikmati dengan kebanggaan matang.
Adakah berbaloi dengan mengecat muka, bersorak, makan kuaci dan raikan kemenangan sebelum pulang dengan rasa paling bangga tetapi permainan yang dipersembahkan adalah membosankan?
Maka, selamat maju jaya kepada JDT dan PKNS FC!

