Belum tertewaskan, ini puji-pujian untuk JDT
Musim ini JDT belum pernah tewas. Ini luar biasa sebagai satu pasukan bola sepak di Malaysia. Lainlah kalau di England (seperti Arsenal) atau di Sepanyol.
Dalam dekad ini kelab gergasi dunia seperti Manchester United, Real Madrid, Barcelona, Arsenal, malah Liverpool juga banyak kali tewas pada tahun 2016 ini.
Apa punca skuad Harimau Selatan jadi hebat? Apakah sebab mereka memandu kereta sport?
Semua manusia yang bergelar pemain bola sepak profesional khususnya, mesti pandai sepak bola, gelecek, bijak buat hantaran dan cerdik menterjemah taktikal jurulatih.
Tetapi JDT ini lain. Ia bukan sekadar kereta sport.
Kewangan
Ini antara sebab pasukan bola sepak boleh jadi mantap. Wang adalah 'raja'.
Saya yakin gaji barisan pemain JDT lumayan dan lebih penting tidak tertunggak walaupun penaja mereka tidak popular atau mempopularkan diri.
Jadi tiada sebab untuk pemain mogok di atas padang. Dengan sumber kewangan dijaga rapi mereka secara automatik 'ditekan' untuk bermain dengan baik. Sekurang-kurangnya untuk mencipta kemenangan atau mengelak daripada tewas.
Tidak ada pilihan pada pemain itu.
Masalahnya, di Malaysia wujud gejala - misalnya - merajuk apabila gaji tertunggak, mogok (dengan tidak mengikut arahan) apabila tidak suka kepada jurulatih, atau bermain sekadar gitu-gitu saja apabila tidak sebulu dengan rakan sepasukan.
Elemen sedemikian menguburkan profesionalisme bola sepak. Rasanya, JDT tidak begitu. Kalau ada pun mungkin di hujung kuku jari.
Ya, bukan semua pasukan tidak membayar gaji pemain mereka. Tapi itulah isu yang saban tahun jadi modal kepada media.
Kualiti
Pemain JDT dikelaskan sebagai pemain terbaik dalam negara. Ramai antara mereka adalah pemain kebangsaan (tapi, itulah, pasukan kebangsaan pernah juga tewas 0-10).
Safiq Rahim, Amri Yahyah, S Chanturu, Safee Sali dan Adil Zaquan antara nama besar bola sepak negara.
Mereka berjaya membawa JDT menjulang piala demi piala. Ketika bersama pasukan lain sebelum ini, persembahan mereka tidak sehebat sekarang. Malah ketika mewakili Harimau Malaysia pun mereka belum jadi hebat. Berbeza apabila mereka bermain untuk JDT.
Infrastruktur
Ada banyak pusat latihan disediakan untuk JDT. Stadium, gimnasium, padang latihan dan seumpamanya tidak dimiliki pasukan lain seperti di negeri Darul Takzim itu.
Ini memberi kelebihan secara fizikal dan spiritual. Mereka terdidik dengan persekitaran yang meyakinkan.
Bayangkan bagaimanakah sebagai pasukan yang mewah dan hebat fasiliti selalu tewas? Malulah, bhai, dengan pasukan yang berlatih di padang majlis perbandaran, misalnya.
Justeru, ini faktor yang menyebabkan tidak ada sebab untuk JDT tidak hebat. Di Asia Tenggara malah. Tidak mustahil mereka akan menjadi juara Liga Juara-juara Asia seperti Safiq idamkan.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Sebaik jadi juara Piala FA 2016, Safiq sebagai kapten JDT menyebut Tengku Mahkota Johor adalah susuk yang menyuntik motivasi kepada mereka.
Sebagai pemilik Harimau Selatan, Tunku Ismail sejak tiga tahun lalu memeriahkan arena bola sepak tempatan. Suara lantang beliau disambut segenap lapisan peminat dan 'pembenci'.
Lebih penting, faktor motivasi dan peranan beliau bukan sekadar kata-kata. Sekurang-kurangnya sehari dua ini beliau bangkit tidur saja, boleh sentuh piala.
Justeru, semua hal yang dinyatakan secara umum di atas - kewangan, kemudahan dan kebajikan (mungkin juga kereta sport), perlu diberi penekanan oleh pengurusan pasukan lain.
Untuk menjaga sesebuah pasukan, tidaklah semestinya putera raja yang bertakhta di kerusi presiden persatuan. Cuma TMJ sudah menunjukkan cara. Selebihnya adalah pilihan kita.
N FAIZAL GHAZALI wartawan sukan Malaysiakini

