Piala Europa: Sayang Basel bukan Istanbul
Ingat insiden bersejarah di Istanbul, Turki 11 tahun lalu?
Malangnya di Basel pada awal pagi tadi, bukan itu yang berlaku kepada Liverpool.
Sebaik saja pengadil meniup wisel tanda berakhirnya perlawanan Sevilla - Liverpool pagi tadi, kelab Sepanyol itu boleh berbangga kerana mencipta kejayaan luar biasa.
Mereka mengungguli Piala Europa sebanyak tiga kali berturut-turut.
Memang Sevilla bukan kelab pertama melakukannya. Sebelum ini Real Madrid memenangi piala itu sebanyak lima kali berturut-turut, diikuti Ajax (Belanda) dan Bayern Munich (Jerman) melakukan hatrik antara 1971 dan 1976.
Maknanya sudah 40 tahun waktu itu berlalu.
Secara umum Sevilla sering menemui jawapan selepas berdepan dengan cabaran.
Awal pagi tadi penyokong The Kop sudah bergembira ketika melihat Daniel Sturridge menari-nari di tepi padang selepas membuat jaringan ke gawang lawan.
Itu berlaku pada minit ke-35.
Kerana jasa Coke
Masalahnya anak buah Unai Emery tidak pernah mengalah di sebalik hakikat mereka gagal memenangi 19 perlawanan La Liga yang berlangsung di padang lawan pada musim ini.
Gol penyamaan ditemui kurang dari seminit melalui sentuhan Kevin Gameiro. Derita Liverpool ditambah oleh Jorge Andujar Moreno.
Jika anda berasa janggal dengan nama itu, bagaimana dengan nama ini: Coke.
Pemain Sepanyol itu sekali membuat Stadium St Jacob-Park di Basel, Switzerland bergegar ketika perlawanan berbaki 20 minit.
Sebenarnya Coke tidak pernah pun membuat jaringan peribadi di sepanjang kempen mereka di peringkat Eropah.
Secara keseluruhan, kemenangan awal pagi tadi adalah yang kelima untuk Sevilla.
Sekarang mari lihat sekali imbas beberapa fakta menarik pada awal pagi tadi.
Kemantapan Sturridge
Walaupun dibelenggu masalah kecederaan dia membuktikan kehebatannya tetap ada. Namun pada 15 minit pertama perlawanan Sturridge kelihatan sukar untuk memberi apa-apa sumbangan kepada pasukannya.
Hanya apabila mendapat hantaran daripada Philippe Coutinho di minit ke-35 Sturridge berjaya membawa Liverpool ke depan.
Jurgen Klopp, penyokong Liverpool - malah penyokong England - melompat kegembiraan. Masalahnya, kegembiraan itu hanya seketika.
Kualiti Klopp, Emery
Ada pihak berpendapat Emery hanya menunggu masa sebelum berhinjrah ke EPL.
Dengan mengubah nasib Sevilla di 45 minit kedua perlawanan nama bekas pemain tengah Real Sociedad itu tentu menjadi buah perbualan ramai, termasuk pemilik kelab tertentu di England.
Tambahan pula ada beberapa kekosongan untuk jawatan pengurus kelab EPL ketika ini.
Emery, 44, nampaknya mahir membaca permainan kelab Inggeris.
Pemerhati berkata Emery membawa Sevilla bermain seperti Stoke City di bawah Tony Pulis. Dan taktik hantaran bola jarak jauh itu nampak mengejutkan Liverpool untuk seketika.
Liverpool akhirnya pulih dengan perancangan Klopp nampak semakin kemas di hujung separuh masa pertama. Liverpool juga tidak membiarkan mereka selesa dengan kelebihan satu gol.
Cuma entah apa dipesan Emery di bilik persalinan Sevilla kerana separuh masa kedua langsung tidak memihak kepada Liverpool.
Pemain terbaik
Jika perlawanan bola sepak awal pagi tadi ditamatkan pada minit ke-45, memang Sturridge adalah orang paling layak dipuji.
Malangnya - sekali lagi - ada berbaki 45 minit di separuh masa kedua. Sevilla dan Liverpool saling membalas gerakan untuk mencari kemenangan.
Kolo Toure kelihatan menonjol dengan kesungguhannya. Cuma 90 minit perlawanan kelibat Grzegorz Krychowiak benar-benar dihargai.
Ketangkasan pemain antarabangsa Poland itu di bahagian pertahanan sering kali membuat anak buah Klopp kebuntuan langkah.
Sekadar makluman, kehebatan Krychowiak, 26, sudah disedari dua kelab Inggeris - Arsenal dan Manchester City - sejak dua tahun lalu.
Di sebalik cubaan kedua-dua kelab, usaha membawa Krychowiak ke EPL belum berhasil.
Musim depan
Jika kekalahan 1-3 itu belum memadai untuk meremukkan hati Liverpool, bagaimana dengan hakikat ini: Mereka tidak akan bersaing dalam liga peringkat Eropah pada musim depan.
Tanpa memenangi sebarang piala di peringkat liga tempatan, dan berakhir di tempat kelapan secara keseluruhan The Kop tidak layak bersaing dalam kejohanan Liga Juara-juara atau Piala Europa.

