Untuk kesekian kali kehadiran Jonas Erikson untuk mengadili perlawanan Liverpool tidak membawa sebarang tuah.

Walaupun pada suatu ketika Erikson bagaikan tidak ada sebarang kaitan buruk dengan The Kop, di akhir perlawanan di Stadium St Jacib-Park di Basel, ternyata sejarah itu terus bersambung.

Liverpool kalah dan pengadil perlawanan ialah Erikson.

Liverpool memang sempat berada di depan melalui gol Daniel Sturridge. Cuma anak buah Jurgen Klopp gagal mengekalkan prestasi mereka sebaik saja bermula separuh masa kedua.

Pada 45 minit kedua Erikson mengemudi perlawanan gawang The Kop dirobek lawan sebanyak tiga kali.

Pada aksi separuh masa pertama, bola Liverpool sebenarnya sudah melepasi garisan gol Sevilla sebanyak dua kali tetapi jaringan Dejan Lovren dibatalkan Eriksson.

Alasan Erikson - Sturridge berada di posisi off-side.

Kontroversi juga berlaku ketika gol ketiga Sevilla dijaringkan. Penjaga garisan sudah mengangkat bendera mengatakan Jorge Andujar Moreno atau Coke berada pada posisi off-side.

Bagaimanapun, Erikson, 42, tetap mengesahkan jaringan tersebut. Dia juga dikatakan menyuruh penjaga garisan menurunkan bendera.

Klopp dan Martin Skrtel tampil membantah di tepi padang namun pegawai perlawanan tetap memihak keputusan pengadil.

Menurut laporan Transfermarket, sebelum ini Liverpool sudah dua kali 'ditewaskan' oleh Erikson.

Pertama, mereka tewas 1-2 kepada Benfica pada suku akhir kedua Liga Europa pada 1 April 2010, manakala kali kedua mereka kalah 0-1 kepada FC Basel pada perlawanan kumpulan B Liga Juara-juara pada 1 Oktober 2014.

Sudah bergelar jutawan

Sementara itu, Klopp enggan mengulas mengenai keputusan pengadil.

Menurutnya, beliau tidak mahu menjadikan Erikson sebagai kambing hitam atas kegagalan anak buahnya.

Sementara itu media melaporkan Eriksson bukanlah pengadil biasa.

Jika pegawai perlawanan normal memperoleh pendapat tahunan kira-kira £70,000 (RM418,600), pendapatan Eriksson memiliki imbuhan jauh lebih tinggi.

Pada 2013 media melaporkan dia menjadi jutawan selepas menjual 15 peratus pegangan sahamnya dalam media sukan Sweden dan memperoleh £6 juta (RM35.9 juta).

Pernah bertugas sebagai wartawan, Eriksson menjadi pengadil profesional sejak 1994 dan dipercayai seorang daripada tiga rakan kongsi yang menjual saham masing-masing dalam syarikat IEC in Sports.

Syarikat itu mempunyai cawangan di Eropah, Timur Tengah, Asia dan Ocenia dan urusan perniagaan mereka ialah menjual hak penyiaran acara sukan kepada stesen televisyen dan syarikat media di seluruh dunia.

Suatu ketika dulu Eriksson tidak mengeluarkan kad merah kepada Robert Lewandowski selepas pemain Borussia Dortmund itu menyiku pemain Arsenal, Laurent Koscielny.