Mungkin terlalu kecewa selepas berusaha bermati-matian, seorang pemain Perlis dilaporkan bertindak di luar kebiasaan di Stadium Likas Kota Kinabalu semalam.

Kalah 0-1 kepada Sabah pemain pertahanan Perlis Arman Fareez Ali dilaporkan pergi ke tepi padang untuk bertemu penyokong yang menyorak mereka.

“Kalau abang rasa boleh main, ambil kasut saya, masuk main,” katanya seperti dilaporkan Arena Metro hari ini.

Semalam adalah perlawanan terakhir untuk Perlis bagi pusingan pertama Liga Perdana musim ini sebelum bersambung esok dan berehat sehingga selepas Ramadan.

Setakat ini anak buah Dollah Salleh menduduki tangga kelapan liga dengan 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga seri dan lima kekalahan.

Mereka sekadar mendahului Sabah - di tangga kesembilan - yang kini mengumpul 11 mata.

Cuma mahu penjelasan

Tindakan Arman itu dilaporkan mengguris hati penyokong Singa Utara yang sanggup ke Likas untuk melihat pemain mereka beraksi.

Menurut salah seorang penyokong Perlis, sebaik wisel penamat ditiupkan penyokong memanggil kesemua pemain untuk mendapatkan penjelasan mengapa aksi mereka tidak bertenaga.

“Kami bertanya kepada pemain apa sudah berlaku dan minta penjelasan kerana sudah beberapa perlawanan prestasi mereka hambar dan tidak meningkat,” katanya.

Ketua pasukan Afif Amiruddin dan pemain kelahiran Perlis Azmizi Azmi berusaha untuk menerangkan apa yang berlaku serta memaklumkan mereka sudah memberikan apa yang termampu untuk menyaingi Sabah.

“Tapi secara tiba-tiba, salah seorang pemain (Arman) mencelah dan berkata kepada kami, dia sanggup memberikan kasutnya supaya kami pula bermain menggantikan tempatnya.

“Kami terkejut dengan kata-kata seperti itu yang keluar dari mulut pemain berkenaan. Apa yang kami mahukan hanya penjelasan mengenai kemerosotan prestasi tapi dibalas dengan kata-kata kurang profesional.

“Kami mahu pemain itu memohon maaf,” kata penyokong Perlis yang enggan dikenali itu.