Euro 2016: Menanti kejutan pasukan 'biasa-biasa'
Tanpa mana-mana kumpulan dianggap terlalu berbahaya untk pasukan pilihan, undian Euro 2016 kali ini memberi peluang kepada pasukan berprestasi sederhana bangkit melawan nama-nama besar bola sepak Eropah.
Setiap kumpulan diisi dengan kehadiran bekas-bekas juara edisi lalu kecuali kumpulan F.
Bagi pasukan terkemuka seperti Perancis, England, Jerman, Sepanyol, Itali dan Portugal masing-masing ditempatkan dalam enam kumpulan berbeza.
Justeru mereka dilihat mempunyai peluang cerah untuk layak ke peringkat kalah mati.
Namun, setiap kumpulan itu mempunyai pasukan yang pastinya bakal memberi saingan berdasarkan rekod lampau dan kedudukan terkini.
Antaranya saingan kumpulan E, Itali sebagai pasukan dengan rekod kejayaan lampau tidak boleh terlalu selesa dengan adanya pasukan di ranking kedua dunia iaitu Belgium.
Rekod pertemuan lalu menyaksikan Belgium menewaskan Itali 3-1 pada aksi persahabatan November 2015.
Skuad bimbingan Marc Wilmots itu juga menewaskan Perancis pada perlawanan persahabatan Jun 2015 sebelum mereka tewas 1-2 kepada Portugal pada 30 Mac lalu.
Untuk rekod antara pemain Portugal ialah bintang bola sepak dunia dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo (gambar).
Sementara itu, di atas kertas pasukan nombor lima dunia iaitu Jerman dilihat berdepan laluan mudah dalam kumpulan C yang turut menempatkan pasukan Ireland Utara, Poland dan Ukraine.
England tak konsisten
Kumpulan A pula menyaksikan Perancis yang juga juara edisi 2000 berdepan cabaran Albania, Romania dan Switzerland.
Walaupun Perancis dilihat lebih 'gagah', mereka harus berwaspada dengan kemampuan Switzerland dan Romania.
Dalam saingan kumpulan D pula, penyandang juara dua edisi berturut iaitu Sepanyol nampaknya selesa dengan saingan Croatia, Republik Czech dan Turki.
Selain itu, saingan sengit dijangka melibatkan kumpulan B apabila England bakal berdepan Rusia, Slovakia dan Wales. Prestasi tidak konsisten England dilihat memberi ruang kepada pasukan underdog dalam kumpulan itu untuk merebut slot pusingan seterusnya.
Skuad bimbingan Roy Hodgson itu tewas 1-2 kepada Belanda dalam perlawanan persahabatan pada 29 Mac lalu di gelanggang sendiri walaupun menang mengatasi Jerman pada aksi tiga hari sebelum itu.
Justeru, mampukah pasukan-pasukan gergasi dunia terus meraih dominasi sukan nombor satu itu atau berjayakah pasukan underdog untuk melakukan kejutan pada edisi kali ini?
Kumpulan A
- Perancis
- Romania
- Albania
- Switzerland
Kumpulan B
- England
- Russia
- Wales
- Slovakia
Kumpulan C
- Jerman
- Ukraine
- Poland
- Ireland Utara
Kumpulan D
- Sepanyol
- Republik Czech
- Tukri
- Croatia
Kumpulan E
- Belgium
- Itali
- Repubik Ireland
- Sweden
Kumpulan F
- Portugal
- Iceland
- Austria
- Hungary

