Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Maria dihukum gantung 2 tahun kerana meldonium
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 1:06 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Bintang tenis Rusia, Maria Sharapova, dikenakan larangan terbabit dalam sukan itu selama dua tahun kesan daripada kegagalan ujian doping ke atasnya.

Namun, pemain berusia 29 tahun itu dilaporkan bertegas untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang dilihat bakal menamatkan perjalanan kariernya sebagai pemain tenis profesional.

Maria yang berpangkalan di Amerika Syarikat, gagal ujian doping pada 26 Januari dan didakwa melakukan pelanggaran undang-undang antidadah pada 2 Mac.

Dalam satu sidang media beberapa hari kemudian, Sharapova mengaku mengambil meldonium dan mendakwa beliau tidak menyedari bahan itu termasuk dalam senarai bahan terlarang.

Meldonium hanya dimasukkan ke senarai bahan terlarang Agensi Antidadah Dunia (Wada) pada 1 Januari, sedangkan Maria berkata beliau telah mengambilnya sejak 10 tahun lalu.

Maria ketika itu beraksi pada Terbuka Australia.

Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dalam kenyataannya berkata, tribunal bebas mendapati Maria melanggar peraturan antidadah.

Susulan itu, tempoh dua tahun penggantungan dikenakan berkuatkuasa bermula 26 Januari 2016 hingga 25 Januari 2018.

Sharapova bagaimanapun tampil mengkritik hukuman tersebut yang disifatkan sebagai tidak adil dan keterlaluan.

"Walaupun tribunal itu membuat kesimpulan bahawa saya tidak sengaja melanggar peraturan antidadah, saya tidak boleh menerima penggantungan dua tahun. Ia tidak adil dan keras," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Maria yang pernah menjadi pemain tenis wanita terkaya berkata tribunal itu - yang anggotanya dipilih oleh ITF - bersetuju dia tidak melakukan kesalahan dengan sengaja, namun mengenakan larangan bermain tenis selama dua tahun.

"Saya akan segera merayu penggantungan keputusan itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan," jelasnya.

Terdahulu, penyertaan Maria pada Terbuka Australia dibatalkan dan beliau kehilangan hadiah wang serta mata ranking daripada kejohanan tersebut.

Lihat Komen
ADS