10 atlet wakili pelarian sertai Olimpik Rio 2016
Sukan Olimpik 2016 yang bakal berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil beberapa bulan lagi membawakan delegasi instimewa untuk seluruh dunia.
Selain wakil dari pelbagai negara, seramai 10 atlet akan menyertai temasya sukan terbesar dunia itu atas kapasiti wakil pelarian perang.
Perkara itu disahkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menyifatkan penyertaan golongan pelarian itu sebagai "simbol harapan" kepada dunia.
"Pasukan pelarian ini tidak mempunyai rumah, tanpa pasukan, tiada bendera dan lagu kebangsaan.
"Kami menawarkan mereka sebuah rumah di perkampungan Olimpik bersama atlet lain," kata Presiden IOC, Thomas Bach.
Dipilih daripada 43 calon, wakil pasukan pelarian itu terdiri daripada dua perenang kelahiran Syria, dua atlet judo dari Republik Congo dan enam pelari dari Ethiopia dan Sudan Selatan.
Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) berata, atlet tersebut merupakan pelarian yang meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk mengelak daripada keganasan dan penganiayaan di negara sendiri.
Penghormatan kepada ketabahan
Mereka kemudian mendapat perlindungan dari negara asing seperti Belgium, Jerman, Luxembourg, Kenya dan Brazil.
"Inisiatif menghantar pasukan perlarian sempena Olimpik sudah dilakukan sebelum ini dan menghantar mesej sokongan dan harapan buat pelarian di seluruh dunia," kata UNHCR dalam kenyataan dikeluarkan pertubuhan itu.
Namun kelainan pada edisi Olimpik kali ini ialah, pasukan yang mewakili pelarian tersebut akan menyertai perbarisan pada majlis perasmian di Stadium Maracana di bawah bendera Olimpik dan mereka akan dinggap setaraf dengan atlet lain.
IOC berkata, pasukan yang diwakili enam atlet lelaki dan empat wanita itu dipilih berdasarkan bakat, keperibadian dan status pelarian yang disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
"Penyertaan mereka dalam Sukan Olimpik adalah satu penghormatan terhadap keberanian dan ketabahan pelarian menghadapi kesusahan demi membina masa depan yang lebih baik untuk diri dan keluarga. UNHCR berdiri bersama mereka dan seluruh pelarian," katanya Pesuruhjaya Tinggi PBB, Filippo Grandi.
Sementara itu, larian obor Olimpik Rio 2016 juga menyaksikan penglibatan dan kisah pelarian yang berlangsung pada Mei lalu.
Seorang pelarian Syria, Ibrahim al-Hussein yang juga bekas atlet sebelum dia kehilangan sebahagian kaki kanannya akibat letupan bom telah membawa obor Olimpik melalui Kem pelarian di Athens.
Seminggu kemudian seorang rakan senegaranya dikenali sebagai Hanan Dacka, 12, membawa obor Olimpik peringkat pertama secara berganti-ganti ke seluruh negara tuan rumah itu.
"Perkara paling penting dalam sukan adalah keseronokan dan bertemu rakan-rakan baru," kata Dacka yang kini belajar di sebuah sekolah menengah di Brazil.
"Dengan membawa obor Olimpik, orang seluruh dunia akan tahu bahawa pelarian juga adalah manusia, dan kita dapat melakukan banyak perkara positif," jelasnya.

