Euro 2016: Magis Perancis hadir di saat-saat akhir
Untuk mengesahkan mereka menjadi pasukan pertama melangkah ke peringkat kalah mati, Perancis terpaksa berjuang habis-habisan dan melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas Albania.
Pada perlawanan kedua kumpulan A awal pagi tadi, skuad Les Bleus diberi cabaran hebat hingga ke penghujung masa perlawanan.
Hanya di hujung perlawanan penyokong pasukan tuan rumah itu mampu menarik nafas lega.
Walaupun mendominasi bola di Stadium Stade Velodrome itu, kebuntuan gol hanya dipecahkan pada minit ke-90 melalui jaringan Antoine Griezmann.
Sebelumnya memang banyak peluang tercipta, malah skuad bimbingan Didier Deschamps melepaskan 22 kali percubaan berbanding tujuh percubaan oleh pasukan lawan.
Namun, hanya magis di hujung masa perlawanan memberi kejayaan kepada pasukan Perancis.
Selepas lakaran Griezmann, Dimitri Payet - bermain di kelab West Ham United - turut mencatat nama sebagai penjaring ketika permainan berada di hujung masa kecederaan.
Percaturan Deschamps membawa masuk Griezmann bagi menggantikan Kingsley Coman pada minit ke-68 ternyata keputusan yang tepat.
Penyerang Atletico Madrid itu bijak menyambung hantaran silang Adil Rami di depan gawang Albania dengan tandukan ke sisi kanan.
Enam minit berselang, Payet tampil memperdayakan dua pemain pertahanan lawan sekali gus memperdayakan penjaga gol Albania, Etrit Berisha untuk gol kedua mereka.
Kemenangan bergaya itu meletakkan anak buah Deschamps di kedudukan teratas kumpulan setakat ini dengan mengutip enam mata.
Juara dua kali itu akan berdepan cabaran Switzerland pada perlawanan ketiga bagi menentukan juara kumpulan A, Ahad ini.

