Skuad The Three Lions mendapat suntikan bermakna sebentar tadi selepas mencatat kemenangan pertama dalam kempen mereka di Euro 2016.

Kejayaan skuad itu bangkit dari ketinggalan dan mencatat kemenangan dalam perlawanan utama adalah kali pertama berlaku dalam sejarah.

Bertempat di bandar raya Lens, Stadium Bollaert-Delelis menjadi saksi kebangkitan skuad England mengatasi Wales 2-1.

Pemain termahal dunia Gareth Bale meletakkan Wales di depan melalui jaringan tiga minit sebelum rehat dan sempat membuat anak buah Roy Hodgson cemas.

Namun penyerang berbisa Leicester City, Jamie Vardy memberikan harapan kepada England dengan jaringan pada minit ke-56 untuk menyamakan kedudukan.

England terpaksa bergelut dan menunggu sehingga selepas minit ke-90 untuk mencipta kemenangan.

Ketika perlawanan berlangsung pada waktu kecederaan, penyerang Liverpool, Daniel Sturridge, menggegarkan gawang lawan untuk akhirnya memeterai kemenangan England.

Wales mempunyai satu peluang terakhir beberapa detik kemudian namun tandukan Bale dari jarak kira-kira 15 meter gagal menuju sasaran sepatutnya.

Menceritakan perasaannya menjadi penyelamat England, Sturridge berkata dia sendiri sukar mempercayai apa yang dilakukannya.

"Apabila anda bermain untuk negara, perasaannya begitu indah. Sukar untuk dipercayai," katanya.

Namun dia segera mengingatkan rakan sepasukan serta penyokong supaya tetap berpijak di bumi nyata.

"Ada satu lagi perlawanan kumpulan dan tiada sesiapa mahu terlalu seronok," katanya.

Dengan kemenangan sebentar tadi England mengutip empat mata, termasuk satu hasil seri dengan Russia pada perlawanan pembukaan.

England berdepan Slovakia pada 20 Jun ini.

Wales pula berada di tempat ketiga dengan tiga mata, manakala Russia terpaksa bersabar di tempat tercorot dengan satu mata.