Kemajuan kelab bola sepak JDT sudah terbukti jauh meninggalkan pasukan lain di Malaysia dalam pelbagai aspek khususnya dari segi kemudahan dan fasiliti.

Namun, ia belum memadai apabila skuad Harimau Selatan terus dengan mengorak langkah panjang mereka apabila merancang untuk mewujudkan kem latihan di Sepanyol.

Perkara itu diumumkan melalui Facebook The Southern Tigers yang memaklumkan rancangan JDT membeli sebidang tanah di bandar Valencia atau Barcelona untuk dibangunkan menjadi sebuah kem latihan kelab berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, kemudahan itu juga akan menjadi tempat penginapan pemain untuk perlawanan pramusim di negara Eropah berkenaan.

"Satu pasukan delegasi JDT telah dihantar ke Sepanyol hari ini untuk meninjau lokasi yang bersesuaian di sana.

"Tujuan pembelian tanah tersebut adalah untuk dibangunkan menjadi sebuah kem latihan JDT dan juga tempat penginapan para pemain untuk perlawanan pramusim yang akan diadakan di Sepanyol," kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan dengan beberapa wakil kelab gergasi Eropah seperti Valencia, Real Madrid dan Barcelona di Sepanyol dan kelab Perancis, Paris St-Germain.

Selain itu, pusat latihan itu juga akan menjadi tempat penginapan pemain-pemain muda JDT yang diserapkan ke mana-mana kelab di Sepanyol.

"Satu lagi langkah ke hadapan menjadi kelab bola sepak pertama dalam negara untuk memiliki prasarana bola sepak di luar negara," tambah kenyataan itu.