Bintang Portugal Cristiano Ronaldo akhirnya menunjukkan bisa dengan jaringan dua gol untuk membawa pasukannya seri 3-3 menentang Hungary, awal pagi tadi.

Perlawanan ketiga kumpulan F itu menjadi peluang akhir untuk Portugal menentukan nasib mereka dalam Euro kali ini - sama ada layak ke pusingan seterusnya atau pulang lebih awal.

Ternyata skuad bimbingan‎ Fernando Santos bernasib baik apabila keputusan itu meletakkan mereka di kedudukan ketiga kumpulan dengan kutipan tiga mata daripada tiga kali seri.

Format pertandingan edisi kali ini menyaksikan empat pasukan ketiga terbaik keseluruhan layak melangkah ke saingan kalah mati bersama 12 yang lain.

Bagaimanapun aksi di Parc Olympique Lyonnais itu sangat mendebarkan penyokong kedua-dua pasukan.

Hungary mendahului tiga kali dan setiap gol itu dibalas Portugal dengan tindak balas sepatutnya.

Malah Ronaldo yang sebelum ini dikecam kerana gagal menyengat, menyumbang dua daripada tiga gol berkenaan.

Ronaldo samakan kedudukan

Satu daripada gol Ronaldo dijaringkan dengan teknik menarik - sesuai dengan statusnya sebagai bintang bertaraf dunia.

Tempo permainan pantas, serang bertali arus menghiasi aksi penentuan buat Portugal dan mereka juga bergantung harap kepada satu lagi perlawanan kumpulan F membabitkan Iceland dan Austria.

Kemenangan 2-1 Iceland (gambar) turut menyebabkan Austria terkeluar daripada pusingan kalah mati.

Hungary mengejutkan ‎A Seleccao pada minit ke-19 melalui jaringan Zoltan Gera yang memanfaatkan tendangan penjuru kapten mereka, Balazs Dzsudzsak.

Ketinggalan 0-1 memberi tekanan untuk Portugal menyerang benteng pertahanan lawan.

Kebuntuan mereka untuk gol penyamaan pertama berakhir pada minit ke-42 hasil tendang deras Nani yang berpunca daripada umpanan Ronaldo untuk keputusan 1-1 di separuh masa pertama.

Babak masa kedua bersambung kemudiannya seolah-olah memberi isyarat bahawa Hungary bakal menyingkirkan lawannya.

Tendangan bebas Dzsudzsak yang terbias akibat terkena pemain Portugal pada minit ke-47 sekali lagi meletakkan anak didik Bernd Storck di depan.

Kedudukan 2-1 itu bagaimanapun dipadam Ronaldo dengan gol penyamaan Portugal tiga minit berselang.

Bagaikan pestas gol, Dzsudzsak sekali meletakkan Hungary mendahului lawan lima minit kemudian. Kedudukan 3-2 itu hanya memberi keselesaan selama tujuh minit apabila Ronaldo menyamaankan kedudukan di minit ke-62.

Selain menghidupkan peluang untuk pasukannya, bintang Real Madrid untuk muncul sebagai pemain pertama yang berjaya mencipta gol pada empat kejohanan Euro berturut-turut.