Ireland berdepan nasib tidak menentu dalam Euro kali ini, sehinggalah mereka berdepan pasukan gergasi dunia - Itali - dan membenam juara empat kali Piala Dunia itu.

Mereka hanya memiliki satu mata dalam kumpulan E selepas kalah dan seri dalam dua perlawanan terdahulu.

Berdepan Itali yang menduduki tempat teratas kumpulan Ireland berdepan tugas sukar mencari kemenangan untuk melayakkan mereka bersaing di peringkat 16 pasukan terbaik.

Pada masa sama Sweden juga mengintai peluang ke pusingan berikutnya.

Kemudian sejarah pun tercipta - anak buah Martin O'Neill membenam Itali melalui tandukan Robbie Brady di hujung perlawanan.

Bagi Ireland perlawanan awal pagi tadi adalah detik terindahnya sebagai ketua jurulatih, lahirnya wira negara dan permulaan masa depan yang menjanjikan.

Skuad paling tua

Satu daripada tindakan berani diambil O'Neill ialah menggantikan pemain berpengalaman dengan watak muda dan segar.

Dia tidak menurunkan Glenn Whelan, 32; John O'Shea, 35; dan Wes Hoolahan, 34, yang digantikan James McClean, 27; Shane Duffy, 24; dan Richard Keogh, 29.

O'Neill dan pembantunya, Roy Keane juga baru menandatangani kontrak baru dengan pasukan kebangsaan. Bermakna mereka akan bertanggungjawab membentuk skuad Ireland sehingga kempen kelayakan Piala Dunia 2018 berakhir.

Pada Euro kali ini Ireland adalah skuad paling tua beraksi - secara kiraan purata usia pemainnya.

Menurut O'Neill apa pun keputusan dicapai Ireland di Perancis kali ini, isu utama yang perlu didepaninya ialah mengatasi masalah kekurangan pemain muda dan segar dalam skuad kebangsaan negara itu.

Di sebalik persembahan membanggakan Duffy, Keogh dan McClean, kebimbangan O'Neill ialah tiada pemain pelapis yang benar-benar dapat diharapkan di akademi kelab bola sepak Ireland.

Malah di EPL tidak ramai pemain Ireland berusia bawah 25 tahun mendapat tempat.

Malam penuh emosi

Sementara itu mengulas persembahan anak buahnya, O'Neill berkata kemenangan penuh dramatik itu memang tidak dijangkakannya.

"Sejujurnya saya sangka perjalanan kami di sini sudah berakhir apabila pemain gagal menjaringkan gol ketika peluang beberapa kali terhidang," katanya.

Pada masa sama O'Neill menghargai sokongan diberikan penyokong Ireland di stadium.

Katanya penyokong dan pemain saling bekerjasama untuk mewujudkan situasi yang diperlukan bagi mereka terus memburu kemenangan.

"Saya fikir tidak ada detik lebih membanggakan kepada kami selain perlawanan ini.

"Memang ada pengalaman hebat pada saya sebelum ini, namun di peringkat antarabangsa, detik ini sangat istimewa.

"Ia penuh emosi dan kami berhak mendapat kemenangan ini," katanya.

Pada pusingan akan datang Ireland akan bertemu tuan rumah - Perancis. Perlawanan berlansung pada Ahad di Lyon.