Pengasas Syarikat Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman sekali lagi menarik perhatian umum apabila mahu membida nombor pendaftaran khas siri VIP 1 dan VIP 6‎.

Malah, Hasmiza dilaporkan mahu menggunakan nombor pendaftaran tersebut untuk kenderaan mewah anak lelakinya yang kini berusia sembilan tahun.

Juga mesra dengan panggilan Datuk Vida, jutawan kosmetik itu berkata, anaknya Muhammad Eriz Zacquan menyimpan impian untuk memiliki kereta sport model Buggati Veyron.

"Muhammad Eric melakukan carian sendiri di komputer (Internet) sebelum menyuarakan impiannya kepada saya mengenai kereta sport berkenaan," kata Hasmiza seperti dilaporkan Kosmo! hari ini.

Dikenali sebagai personaliti yang banyak membuat tajaan program hiburan di televisyen Hasmiza baru-baru ini mencuri tumpuan ramai apabila tampil menjadi penaja utama pasukan bola sepak Kelantan.

Nilai tajaan yang diumumkan ialah RM16 juta bagi tempoh dua musim.

Bagaimanapun selepas cerita tersebut Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dilaporkan berdepan masalah kewangan.

Selain belum dapat melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya Kafa dikatakan berdepan masalah peruntukan kewangan ketika saingan liga Malaysia masih berlangsung.

Malah, Hasmiza turut dilaporkan bercadang menarik balik tajaan syarikatnya untuk skuad Kelantan.

Sementara itu Hasmiza berkata, Muhammad Eric mempunyai cita rasa tinggi dengan meminati kereta antara yang terlaju di dunia itu.

‎"Jadi saya melihat nombor pendaftaran VIP ini unik dan sesuai sekiranya dapat diletakkan pada Buggati Veyron yang diminati anak saya," katanya dipetik sebagai berkata.

Tambah Hasmiza, Buggati Veyron memiliki kelajuan maksimun 407 kilometer sejam dengan harga jualan mencecah RM14.5 juta dan dikatakan hanya terdapat 150 buah sahaja di seluruh negara.