Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Beraksi di tempat lawan adalah perkara biasa bagi mana-mana pasukan bola sepak.

Dengan cabaran tersendiri, skuad kebangsaan kini berada di Nadi, Fiji untuk perlawanan terakhir siri jelajah persahabatan Oceania, Ahad ini.

Jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee melihat tiga cabaran untuk anak buahnya menentang Fiji.

Katanya, cabaran pertama adalah untuk melihat prestasi pemain supaya beraksi di tahap terbaik selepas mereka menang 2-1 ke atas New Caledonia. Sebelum itu mereka tewas 0-2 kepada Papua New Guinea.

"Kedua keadaan cuaca yang agak panas, dan ketiga kemudahan padang yang tak berapa baik," katanya katanya melalui rakaman audio kepada media, hari ini.

Turut merumitkan lagi cabaran, perlawanan itu diadakan pada jam dua petang.

"Ini merupakan cabaran kepada semua pemain. Jadi (dengan) ketiga-tiga cabaran ini saya harap mereka mampu membuktikan itu bukan masalah untuk kita mendapat keputusan yang baik," katanya.

Petang cepat gelap

Kim Swee menjelaskan perlawanan terpaksa diadakan pada awal petang kerana stadium terbabit tidak dilengkapi kemudahan lampu limpah.

"Jadi, kita terpaksa mengikut apa juga yang disediakan. Saya juga difahamkan keadaan cuaca di sini akan bertambah gelap seawal jam lima petang.

"Mereka terpaksa mengadakan perlawanan lebih awal supaya perlawanan tidak akan diganggu dengan cuaca gelap," katanya.

Sementara itu, ada satu lagi 'cabaran bonus' yang dilihat bakal memberi tekanan untuk skuad negara melakukan yang terbaik sebelum bertemu Fiji.

Menurut Kim Swee, Fiji merupakan pasukan yang layak ke sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 dan tentu tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, skuad Fiji menjadikan perlawanan persahabatan menentang Harimau Malaysia untuk melengkapkan pilihan pemain kebangsaan mereka.

"Mereka akan memilih tiga pemain terbaik untuk pasukan Olimpik nanti.

"Sama ada pemain Olimpik atau pasukan senior (yang akan diturunkan) mereka, ia tentu menyukarkan kita pada perlawanan Ahad nanti," katanya.

Lihat Komen
ADS