Buffon tak rela dibanding dengan Neuer
Kedua-dua mereka akan bertembung beberapa jam lagi. Seorang menjaga gawang Jerman, manakala di hujung padang di sisi satu lagi Gianluigi Buffon menjadi benteng terakhir maruah Itali.
Namun bagi Buffon, jangan sekali-kali membandingkan dia dengan Manuel Neuer.
Di mata Buffon meletakkan dia berbanding Neuer adalah satu penghinaan walaupun kedua-dua mereka boleh dianggap antara penjaga gol terbaik dunia ketika ini.
Buffon, 38, membantu Itali menjulang Piala Dunia pada 2006 dan namanya tercatat sebagai penjaga gol termahal dalam sejarah perpindahan antara kelab.
Ketika dia berhijrah dari Parma ke Juventus pada 2001 nilai yang dibelanjakan hampir RM175 juta.
Sejarah Neuer pula tidak kurang hebatnya. Penjaga gol kelahiran Gelsenkirchen 30 tahun silam adalah sebahagian daripada skuad juara Piala Dunia pada 2014.
Dia juga memiliki pelbagai piala sebagai pemain kebangsaan dan Bayern Munich.
Tiada jalan mudah
Kata Buffon dia tidak berniat merendah-rendahkan Neuer kerana "pada akhirnya" penjaga gol itu "mungkin lebih baik" berbanding dirinya.
"Ia bukan sesuatu yang merunsingkan saya atau merendahkan martabat saya.
"Saya tahu apa yang telah dan sedang saya miliki, dan dan di mana saya akan berada dua tahun lagi. Semua itu membuatkan saya berasa sangat tenang," katanya.
Buffon juga berpendapat membandingkan Neuer dengan seorang penjaga gol berusia 38 tahun sepertinya 'menghina' pemain antarabangsa Jerman itu.
"Sejak empat atau lima tahun terakhir ini dia juga menunjukkan kemampuannya dari semua aspek," katanya.
Jerman tidak pernah mengatasi Itali dalam sebarang kejohanan utama apabila mereka bertemu di peringkat kalah mati.
Keadaan itu juga, pada pandangan Buffon, tidak akan berubah untuk skuad Azzurri awal pagi nanti (waktu Malaysia).
Namun tiada jalan mudah untuk Itali.
"Tidak ada pilihan lain kecuali Itali mesti terus berusaha menjadi lebih baik untuk mendapat peluang mengatasi Jerman.
"Jika anda lihat skuad itu, anda tahu betapa sukar cabaran menanti Itali. Segala-galanya akan diuji dan pemain mesti memberikan apa saja yang ada pada mereka.
"Aspek emosi dan fizikal akan diuji sehabis-habisnya," kata pemain kelahiran Carrara di Tuscany itu.

