'Rahsia' di sebalik tarian Griezmann
Apakah yang dilakukan penyerang terhangat Perancis apabila dia menjaringkan gol pada kejohanan Euro kali ini? Menari.
Kini menjadi penjaring terbanyak dalam Euro 2016, Antoine Griezmann memang pantas membuat aksi unik di tepi padang bagi meraikan kejayaannya menyumbat gol.
Untuk pengetahuan anda, Griezmann, 25, tidak mencipta sendiri gerakan itu, sebaliknya mendapat inspirasi daripada penyanyi Drake.
Aksi itu bagaimanapun tidak kelihatan ketika dia membantu Perancis membenam Albania 2-0.
"Saya mula melakukan gerakan itu sebelum menyertai Euro kali ini lagi.
"Cuma ketika menentang Albania saya terlupa kerana emosi saya ketika itu terlalu kuat, begitu juga untuk gol pertama menentang Ireland.
"Kemudian saya teringat gerakan itu dan saya mula melakukannya semula," katanya.
Hasil dua jaringan dilakukan ketika mengalahkan Jerman dalam perlawanan separuh akhir pada awal pagi Jumaat lalu, Griezmann kini mencatat enam gol peribadi sepanjang Euro 2016.
Bagaimanapun dia perlu melakukan empat jaringan lagi jika mahu memadamkan rekod penjaring terbanyak dalam satu kejohanan Euro.
Rekod penjaring terbanyak kini dipegang bekas ketua pasukan Perancis, Michel Platini.
Penyerang Atletico Madrid itu juga memuat naik klip video diubah suai lagu Hotline Bling oleh Drake itu di akaun Instagramnya.

