Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mourinho merendah diri pada legenda MU
Diterbitkan:  Jul 25, 2016 6:14 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Sebagai orang baru di Manchester United, pengurusnya Jose Mourinho bakal berdepan kritikan barisan legenda kelab itu. Dan dia bersiap sedia berhadapan situasi tersebut.

Selepas berakhirnya era Alex Ferguson, beberapa bekas pemain MU seperti Paul Scholes, Roy Keane, Rio Ferdinand dan Gary Neville dilihat sering melemparkan kritikan pedas terhadap The Red Devils.

Ketika MU masih dikemudi Louis Van Gaal, mereka secara terbuka 'menyerang' jurulatih dari Belanda itu dengan kritikan tajam ekoran prestasi merosot pasukan berkenaan.

Bagi Mourinho dia sedar pendapat segelintir legenda MU dapat memberikan kesan signifikan terhadap suasana di Old Trafford.

Begitu pun, Mourinho tidak alergik dengan keadaan tersebut. Dia bersedia mendengar apa sahaja kenyataan daripada bekas pemain.

"Dalam sesebuah kelab pasti ada pemain legenda dari lima, 10, 15 hingga 20 tahun lalu. Suara mereka sangat berpengaruh dan anda perlu memahaminya.

"Anda harus menghormati mereka," katanya Mourinho seperti dilaporkan The Sun semalam.

Bagi Mourinho legenda sesebuah kelab mempunyai pengaruh besar di kalangan penyokong dan mereka boleh memberi pengaruh - sama ada positif atau negatif.

"Jika mereka bertindak positif, hal itu akan membuat kami bersatu. Jika sebaliknya, boleh menjadikan situasi semakin buruk," tambahnya.

Justeru, jurulatih kelahiran Portugal itu mengajak bekas pemain MU datang ke pusat latihan mereka di Carrington jika ada keluhan mahu disampaikan.

"Legenda kelab bekerja secara jujur dan sendirian. Jadi, saya selaku pengurus tidak dapat minta bantuan begitu saja daripada mereka.

"Saya akan katakan kepada mereka, silakan datang ke tempat latihan. Jika mahu berikan pendapat, kami akan menerimanya.

"Pasukan ini adalah rumah anda dan anda boleh kembali bila-bila masa," ujarnya.

Mourinho dan pasukannya kini berada di China untuk perlawanan International Champions Cup (ICC) 2016 berdepan Manchester City di Stadium Nasional Beijing, hari ini.

Lihat Komen
ADS