Kerajaan negeri akan membuat perancangan teliti atau 'master plan' untuk sukan-sukan yang dilihat semakin menyerlah dan berpotensi mengharumkan nama negeri dalam arena sukan tanah air dan antarabangsa.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Datuk Rozi Mamat membuat perancangan tersebut termasuk memberi insentif yang lebih baik untuk memastikan sukan-sukan berkenaan terus menyumbang kejayaan kepada negeri ini.
Katanya, antara sukan-sukan yang berpotensi untuk menerima bajet yang lebih baik pada tahun ini ialah sukan berbasikal, angkat berat dan sukan kuda lasak.
"Seperti yang kita tahu adalah lebih sukar mengekalkan kejayaan berbanding mencipta kejayaan. Sebab itu kita mahu sukan yang memberi prestasi terbaik kita akan beri bajet yang munasabah untuk kejohanan akan datang sebab kewangan adalah penting untuk bantu kejayaan sukan-sukan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) dan Perasmian Logo dan Trademark Kelab Lumba Basikal Terengganu (TSG) di Kuala Terengganu semalam.
Turut hadir, Pengarah Operasi MBOR, Christopher Wong, Pengarah Eksekutif TSG, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan pelumba TSG, Adiq Husainie Othman.
Adiq Husainie merupakan pemenang kategori pelumba Terbaik Asia Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 yang merupakan pelumba Malaysia pertama memenangi kategori tersebut selepas 21 LTdL diadakan.
Pada majlis itu, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan RM5,000 bagi meraikan kejayaan pendaki Terengganu yang berjaya menawan Gunung Everest melalui Tibet, Mohd Farul Aidib Mahamad Yusoff.
Mohd Farul Aidib, 22, pelajar Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia, berjaya menakluk puncak tertinggi dunia itu pada 11.45 pagi (waktu tempatan) 23 Mei lalu bersama seorang lagi rakannya, Azim Afif Ishak, 28.
Mengulas mengenai kejayaan Mohd Farul Aidib, Ahmad Razif mahu kejayaan dan cabaran yang dilalui anak kelahiran Manir itu sepanjang mendaki Everest menjadi inspirasi kepada para pelajar di negeri ini untuk terus maju dalam bidang pendidikan.
"Kita cadangkan agar Aidib membuat misi jelajah ke sekolah-sekolah dan berkongsi pengalaman serta kepayahan beliau ketika mendaki Everest agar para pelajar tahu kepayahan itu akhirnya nanti akan memberikan kemanisan kejayaan," katanya.
-Bernama
