Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy mengakui amat penting bagi dirinya memperbaiki ranking keseluruhannya menerusi cubaan untuk berada dalam kelompok 20 terbaik acara Laser Standard pada Sukan Olimpik Rio di Rio De Janeiro, Brazil.

Beliau berkata kesemua 46 pelayar yang bertanding mempunyai peluang sama rata kerana setiap daripada mereka dibekalkan dengan bot yang sama oleh badan pelayaran dunia dan tiada kelebihan kepada mana-mana peserta dalam acara itu.

Menjalani latihan di venue pertandingan di Marina da Gloria di Copacabana, kira-kira 45km dari sini sejak tiga minggu lepas, katanya beliau sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan pelayaran dan bot sejak 10 hari lepas.

Pelayar berusia 23 tahun itu berkata beliau gembira dengan keadaan dan suasana di venue kerana keadaan tiupan angin adalah berbeza setiap hari.

Selain Khairulnizam, Malaysia turut menampilkan pelayar wanita pertama negara dalam Olimpik iaitu Nur Shazrin Mohammad Latif dalam acara Laser Radial wanita.

Khairulnizam membuat penampilan keduanya dalam Olimpik dengan penyertaan pertama di London empat tahun lepas dengan menduduki tempat ke-47 keseluruhan.

Pelayar itu berikrar untuk tidak mudah berputus asa dalam memberikan saingan kepada pelayar terbaik dunia, namun tidak akan melepaskan peluang untuk kekal sebagai antara pelayar terbaik Asia.

Beliau memilih pelayar Singapura dan Korea sebagai pencabar utama dalam rantau Asia dan berazam melakukan yang terbaik di Rio.

Pertandingan Laser Standard melibatkan 10 perlumbaan dalam peringkat kelayakan dari 8 hingga 14 Ogos dan 10 terbaik akan mara ke pusingan medal.

Khairulnizam menempah tiket ke Rio selepas memenangi pingat emas Laser Standard lelaki pada Kejohanan Asia ASAF di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada Mac.

-Bernama

Lihat Komen
ADS