Peminat sanggup terjun demi Messi
Nekad untuk bertemu dengan pemain bola sepak kegemarannya, seorang peminat sanggup melakukan aksi terjunan semata-mata mahu bersemuka dengan bintang Barcelona, Lionel Messi.
Dalam kejadian di Stadium Aviva, Daublin itu, Messi turut serta dalam perlawanan pramusim International Champions Cup (ICC) 2016 Sabtu lalu.
Kejutan itu berlaku sebaik perlawanan berakhir dan Messi sedang berjalan menuju bilik persalinan.
Satu rakaman aksi peminat lelaki itu tersebar luas di media sosial apabila dia sanggup terjun dari atas tempat duduk penonton ke lorong menuju bilik persalinan.
Sebaik Messi mahu melintasi lorong tersebut, lelaki tersebut melakukan terjunan dan cuba untuk memeluk penyerang berbisa Argentina itu.
Bagaimanapun percubaan itu gagal apabila petugas keselamatan stadium sempat menghalang tindakan lelaki berkenaan.
Terdahulu, pada perlawanan itu Barcelona menewaskan kelab Celtic 3-1 dan berjaya membenam Leiceter City 4-2 pada perlawanan semalam.
Selepas ini anak didik Luis Enrique bakal berdepan Liverpool dan kelab Itali Sampdoria FC dalam perlawanan persahabatan sebelum musim baru bermula Ogos depan.

