Pasukan JDT menyalahkan pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan pasukan PDRM kerana dilihat gagal mengawal keselamatan penyokongnya ketika perlawanan Liga Super yang berlangsung malam tadi di Stadium Perak di Ipoh.

Menerusi Facebook rasmi JDT Johor Southern Tigers, pasukan itu mendakwa penyokong mereka diancam dan dibaling objek keras oleh penyokong tuan rumah sehingga menyebabkan kecederaan sebaik wisel penamat ditiupkan.

"Para penyokong pelawat terpaksa ditempatkan di tengah padang bagi melindungi diri.

"Ada seorang wakil media membuat tuduhan bahawa kamera beliau telah dicuri. Setelah semua penyokong JDT ditahan dan diperiksa seorang demi seorang dan tidak menjumpai kamera tersebut, tiba-tiba wakil media terbabit menyatakan sudah menjumpai kamera tersebut.

Selain itu, JDT mendakwa bas penyokong mereka turut diserang sewaktu perjalanan pulang dan lagu negeri Johor diperlekehkan oleh penyokong tuan rumah.

"Perkara paling memalukan adalah sewaktu lagu Bangsa Johor dinyanyikan, penyokong tuan rumah telah memperlekehkan dan mengejek serta mereka melaungkan sorakan 'JDT bangsat' di mana ia tidak seharusnya berlaku.

"Pihak Keselamatan pula hanya memperuntukkan kurang 100 anggota Polis Di Raja Malaysia untuk mengawal keselamatan hampir 35 ribu penyokong

"Sedangkan jumlah yang berbeza jika di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin yang akan meletakkan tidak kurang dari 1,000 anggota untuk mengawal
keselamatan.

Bernama malam tadi melaporkan sekurang-kurangnya dua penyokong JDT dan seorang jurufoto akhbar NSTP cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam kekecohan yang berlaku di Stadium Perak di Ipoh malam tadi.

Kekecohan berlaku selepas tuan rumah, Perak kalah 0-1 kepada pasukan pelawat dalam saingan Liga Super.

Ketika penyokong JDT berada di tengah padang bagi meraikan kemenangan itu, provokasi tercetus sehingga menyebabkan para penyokong kedua-dua pasukan saling membaling botol minuman selain turut melontar mercun.

Setengah jam kemudian, kira-kira 1,000 penyokong JDT diarahkan oleh pihak keselamatan untuk berkumpul di tengah padang sebagai langkah keselamatan selama hampir satu jam.

Sementara itu, jurufoto NSTP yang cedera, Supian Ahmad, 36, mendakwa beliau diserang penyokong JDT di tengah padang selain dipijak di beberapa bahagian badan.