Pafa kumpul bukti insiden kekecohan di stadium
Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) telah mengumpulkan bukti berkaitan insiden kekecohan di Stadium Perak, Sabtu lalu yang diharap mampu membantu pihak berkuasa membuat siasatan.
Setiausaha Kehormat Pafa, Jamal Mohd Aris berkata semua bukti bergambar dan video berkaitan insiden selepas perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, diharap dapat digunakan untuk mengenal pasti penyokong yang sengaja mencetuskan kekecohan.
"Pafa berharap bukti itu dapat digunakan pihak berkuasa dan FAM untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta dikenakan tindakan sewajarnya.
"Pafa tidak akan bertolak-ansur terhadap sebarang perbuatan yang mencemarkan semangat kesukanan yang sepatutnya wujud melalui bola sepak," katanya dalam kenyataan di Ipoh, hari ini.
Menurut Jamal, Pafa dengan kerjasama FAM, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah mengambil langkah perlu bagi memastikan perlawanan berjalan dalam suasana harmoni dan semangat kesukanan tanpa menjejaskan keselamatan penonton.
Dalam insiden itu, sekurang-kurangnya dua penyokong pasukan JDT dan seorang jurufoto akhbar cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras, selepas tuan rumah, Perak kalah 0-1 kepada pasukan Harimau Selatan itu.
Selain itu, Jamal berkata pihaknya menimbang kemungkinan membuat laporan polis terhadap pihak yang membuat dakwaan palsu dan melemparkan kecaman termasuk provokasi terutama melalui media sosial.
Katanya tindakan itu penting kerana dakwaan palsu dan kecaman boleh mencetuskan ketidakharmonian antara penyokong kedua-dua pasukan khususnya rakyat kedua-dua negeri.
"Antara tuduhan tidak berasas adalah mendakwa Pafa gagal mengawal keselamatan penyokong JDT, insiden kecederaan dan rampasan kamera jurufoto media NSTP tidak berlaku dan merupakan fitnah, selain hanya menempatkan 100 anggota polis untuk menjaga keselamatan 35,000 penonton," katanya.
1,000 tiket untuk JDT
Jamal menjelaskan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan penonton, Pafa hanya menjual sebanyak 26,000 tiket berbanding jumlah sebenar kapasiti Stadium Perak iaitu 32,000.
"Seperti diminta, Pafa juga menyediakan lebih 1,000 tiket kepada penyokong JDT dan penyokong kedua-dua pasukan dipisahkan dalam stadium dengan anggota keselamatan di tempatkan di antara mereka," katanya.
Jamal menjelaskan lebih 1,200 anggota keselamatan dan petugas dari beberapa agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Bomba dan Penyelamat bertugas pada hari itu bagi memastikan perlawanan berjalan lancar.
"Selain itu, semua 21 bas penyokong JDT telah diiringi PDRM sehingga ke sempadan negeri bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku," jelas Jamal.
Berkaitan kecaman terhadap pengadil perlawanan, PAFA menyerahkannya kepada kebijaksanaan FAM dan FMLLP untuk mengambil tindakan, katanya.
-Bernama

