Terima kasih FAS, kata penyokong setia
Terima kasih FAS - itulah kata-kata penghargaan penyokong The Red Giants atas tindakan drastik diambil Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk merombak pengurusan persatuan dan pasukan.
Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, berkata prestasi merudum skuad The Red Giants menyebabkan peminat mendesak pucuk pimpinan FAS supaya mengambil langkah sewajarnya.
"Kami mengharapkan perubahan drastik dilakukan FAS disebabkan prestasi buruk pasukan dengan kekalahan berturut-turut pada perlawanan Piala Malaysia dan Liga Super.
"Bagi saya perubahan drastik hanya boleh dilakukan dengan merombak FAS sendiri.
"Jadi saya sudah merujuk kepada pimpinan FAS iaitu presiden FAS supaya beberapa nama besar dalam persatuan digugurkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Ahad lalu, FAS menggugurkan ketua jurulatihnya Zainal Abidin Hassan sebagai langkah pertama perubahan skuad bola sepak negeri itu.
Perkembangan itu mendorong Rosman Mohd Ibrahim dan Datuk S Sivasundaram menawarkan peletakan jawatan masing-masing sebagai setiausaha agung dan bendahari FAS semalam.
Presiden FAS Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kemudian mengumumkan persatuan itu menerima peletakan jawatan berkenaan.
Mehmet bukan orangnya
Jika dilihat kepada rekod secara keseluruhan Selangor mencatat empat kekalahan berturut-turut namun di Liga Super kedudukan juara bertahan Piala Malaysia itu tidaklah keterlaluan.
Dengan JDT masih gah mendahului di tempat teratas, Selangor masih berada di kedudukan ketiga dengan 26 mata daripada 17 perlawanan.
Tempat kedua pula dimiliki Felda United dengan 39 mata. Kedah mengekori rapat Selangor di tempat keempat dengan perbezaan satu mata.
Mohd Faiza berkata, bagi pengganti kekosongan jurulatih ditinggalkan Zainal Abidin, ASFC berpendapat FAS wajar membawa masuk individu yang betul-betul berkebolehan.
"Kami mahu FAS melantik seorang jurulatih import yang diyakini mampu membawa perubahan terhadap persembahan pasukan Selangor," katanya.
Ditanya mengenai desakan sesetengah penyokong yang mahu bekas jurulatih Mehmet Durakovic kembali mengemudi pasukan itu, bagi ASFC katanya, bekas pemain kelahiran Yugoslavia itu bukan calon sesuai.
"Mehmet (Durakovic) bawa Selangor dalam tempoh setahun, tetapi hancur. Kemudian bagi peluang setahun lagi hanya jadi juara Piala Malaysia namun kualiti permainan teruk, taktikal teruk.
"Kita sebenarnya mahukan jurulatih yang betul-betul berkebolehan," ujarnya.

