Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Akhirnya - FAM akan mendapat presiden baru.

Namun untuk mana-mana pihak yang ingin melihat perubahan berlaku pada padan induk bola sepak itu mereka perlu terus bersabar kerana perubahan itu tidak akan berlaku sehingga tahun depan.

FAM hari ini menyatakan kedudukan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai presiden tidak akan berubah sehingga badan itu mengadakan pemilihan pada kongres yang akan diadakan pada 2017.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah memberi gambaran bahawa mesyuarat exco FAM hari ini menolak pengunduran serta-merta Tengku Abdullah daripada badan itu sehinggalah pemilihan tersebut diadakan.

Menurut beliau, kongres memilih pimpinan baru itu awalnya dijadual pada 2018 namun tarikhnya dikedepankan pada 2017.

"Exco FAM memahami hasrat Tengku Abdullah untuk mengundurkan diri dan barisan exco ‎mengambil tanggungjawab bersama.

"Buat masa ini Tengku Abdullah akan bersama dalam barisan kepimpinan FAM. Kepimpinan sedia ada akan terbubar sehingga tarikh pemilihan nanti," katanya pada sidang media di Kelana Jaya, hari ini.

Afandi berkata, pihak exco telah membincangkan hasrat pengunduran Tengku Abdullah itu semasak-masaknya dan berpendirian mereka mengambil tanggungjawab bersama presiden‎ FAM.

"Ertinya kita akan kembalikan mandat ‎ini kepada ahli gabungan FAM semula untuk menentukan kepimpinan (baru) FAM pada 2017.

"Kita akan serah kepada sekretariat untuk menentukan tarikh kongres nanti berdasarkan garis panduan dan peraturan ‎jawatankuasa status FAM," katanya.

Terdahulu Tengku Abdullah beberapa kali menyatakan hasrat baginda untuk melepaskan jawatan tertinggi dalam badan induk yang dipegang sejak 2014 termasuk menghantar surat secara rasmi pada November tahun lepas.

Bagaimanapun, peletakan jawatan beliau sebelum ini ditolak barisan exco tertinggi FAM.

Ditanya mengapa kongres itu tidak diadakan tahun ini, beliau berkata FAM mempunyai agenda yang perlu diselesaikan.

"Kita ada agenda yang perlu dilaksanakan seperti kejohanan Piala AFF Suzuki pada November.

"Jadi kita tak mahu terburu-buru, tapi kita mahu selesaikan gerak kerja kita tahun ini," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS