Saya dah capai KPI, kata chef-de-mission M'sia
Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid hari ini menegaskan beliau telah mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuknya sebagai chef-de-mission negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, di Rio De Janeiro.
Katanya, sekurang-kurangnya satu pingat perak sudah ada di genggaman selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menempah tiket ke final pada Rabu ini, sekali gus mengatasi pencapaian dua pingat yang dimenangi Malaysia sewaktu Sukan Olimpik 2012 di London.
Di London, Malaysia pulang dengan satu perak menerusi jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei serta satu gangsa yang disumbang ratu terjun, Pandelela Rinong.
Bagi edisi kali ini, gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong telah menyumbang pingat perak iaitu pingat pertama kontinjen negara setakat ini, dalam acara 10 meter platform seirama, minggu lepas.
"Kita telah memperbaiki kutipan warna pingat dan apa yang diperoleh lagi adalah bonus," katanya yang juga Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia.
Beliau jelas ceria di Pavilion 4, Riocentro, di sini pada Isnin, selepas menyaksikan Peng Soon-Liu Ying mencipta kejutan menundukkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012, Xu Chen-Ma Jin dari China, 21-12, 21-19.
"Pasangan kita begitu fokus dan tenang untuk menerapkan strategi mereka. Tiket ke final adalah satu kejutan tetapi mereka sememangnya menjadi sandaran untuk membawa pulang pingat," katanya.
Mohamed Al Amin berkata Chong Wei juga antara harapan pingat negara, terutama untuk emas manakala beregu lelaki Goh V. Shem-Tan Wee Kiong, yang sudah mara ke separuh akhir, turut menjadi harapan menyumbang pingat.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini akan ada kejutan dan anda boleh lihat sekarang," katanya sambil menambah pelumba basikal, Azizulhasni Awang dan Pandelela yang akan beraksi dalam acara 10m platform individu, turut diharap menyumbang pingat.
Sukan Olimpik Rio hanya berbaki empat hari sahaja lagi sebelum tirai temasya dilabuhkan dan Malaysia masih tercari-cari pingat emas yang dinantikan selama ini.
- Bernama

