Selepas menundukkan Sarawak di Kuching minggu lepas, Pulau Pinang kini tekad memungut tiga mata penuh berdepan Kelantan pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya malam ini.

Ketua Jurulatih Pulau Pinang Nenad Bacina berkata walaupun Kelantan mempunyai rekod yang baik dalam perlawanan Liga Super sebelum ini, beliau positif pemain pasukan Harimau Kumbang dapat menjinakkan mereka.

"Saya kini dalam fasa terakhir memilih 11 pemain utama yang akan diturunkan esok tetapi pemain pertahanan Mohd Farisham Ismail tidak dapat diturunkan kerana berstatus 'pinjaman' oleh Kelantan kepada Pulau Pinang bagi perlawanan Liga Super," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Penang Sports Club di George Town semalam.

Dengan berbaki lima perlawanan, Bacina positif Pulau Pinang dapat menamatkan perlawanan Liga Super di lima tangga teratas.

Pulau Pinang kini berada di tangga kesembilan dengan 18 mata, tiga mata di belakang Kelantan yang kini berada di kedudukan kelima dengan 21 mata.

"Kami perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kedudukan kami berada di tahap yang lebih baik pada setiap perlawanan kerana pasukan-pasukan di lima tangga ke bawah akan melakukan apa sahaja untuk mengelakkan diri daripada tersingkir," katanya.

Bacina turut meluahkan keinginannya untuk terus membimbing pasukan Pulau Pinang selepas tamat kempen Liga Super sekiranya khidmat beliau masih diperlukan pasukan itu.

"Saya tiada masalah untuk terus membimbing pasukan ini. Tetapi segalanya bergantung kepada pihak pengurusan dan sekarang, saya ingin fokus untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan akan datang," katanya.

Selain Bacina, Pengarah Urusan Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Bojan Hodak dan dua penyerang import Ranti Martins dan Seok Min-Jeong akan tamat kontrak bersama FAP setelah kempen Liga Super berakhir.

-Bernama