Semua pihak perlu berlapang dada dengan keputusan FAM mengawalkan pemilihan exco mereka ke tahun depan - berbanding jadual asal pada 2018 - untuk keadilan semua pihak.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia B Sathianathan berkata langkah dibuat FAM dianggap tepat kerana sebelum perubahan dilakukan pihak yang terlibat perlu melakukan persiapan sewajarnya.

Menurutnya, tempoh hingga tahun depan itu juga memberi peluang kepada barisan kepimpinan sedia ada menyelesaikan tugas yang digalas sekarang.

"Kita tahu tahun ini Malaysia berdepan kejohanan Piala AFF Suzuki, manakala ahli gabungan FAM pula perlu membuat persiapan untuk pemilihan nanti.

"Dalam tempoh sekarang sehingga pemilihan tahun depan, semua pihak ada masa yang cukup menyelesaikan tanggungjawab masing-masing.

"Saya rasa ini keputusan yang tepat diambil FAM," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Sebelum ini Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat untuk berundur daripada jawatannya ekoran wujud desakan pelbagai pihak untuk merombak semula badan induk bola sepak negara.

Prestasi tidak menentu - dengan kebanyakannya tidak memuaskan - adalah antara punca peminat, pemerhati dan pihak yang terlibat secara langsung dalam bola sepak mahu FAM dirombak.

Tidak ketinggalan wujud dakwaan berlaku rasuah pada FAM.

Semua orang boleh bercakap

Ekoran itu pada 15 Ogos lalu FAM menyatakan mereka bersetuju mengadakan pemilihan pada tahun depan bagi membolehkan perubahan kepimpinan dilakukan.

Pemilihan semula jawatankuasa FAM sepatutnya diadakan pada 2018.

FAM juga menyatakan sesiapa sahaja layak untuk diangkat sebagai presiden dan barisan exco dengan syarat individu tersebut adalah warganegara Malaysia.

Calon tersebut juga perlu mendapat sekurang-kurangnya satu percalonan daripada mana-mana ahli gabungan yang bernaung di bawah FAM.

Sathianathan berkata menjelang pemilihan tahun depan mana-mana individu yang berasa layak mengepalai FAM wajar membuat persiapan.

"Mereka perlu bersedia dari aspek idea dan pembaharuan yang mahu dibawa dalam kepimpinan baru demi kemajuan bola sepak negara.

"Ahli gabung pula perlu bersedia dengan calon-calon untuk mereka ketengahkan," jelasnya.

Ditanya ciri-ciri yang perlu ada pada kepimpinan muka baru FAM, Sathianathan berkata, apa yang penting mereka dapat menterjemahkan setiap perancangan dalam bentuk tindakan.

"Sesiapa sahaja boleh bercakap dengan mudah mengenai wawasan dan perancangan, tetapi ia mestilah disusuli dengan tindakan untuk merealisasikannya," ujar bekas jurulatih skuad kebangsaan itu.