Durian runtuh RM100,000 untuk Pocket Rocket Man
Yayasan Sime Darby (YSD) menghadiahkan RM100,000 kepada pelumba basikal negara Azizulhasni Awang kerana memenangi pingat gangsa Olimpik Rio awal pagi tadi.
Pengerusi YSD Tun Musa Hitam mengumumkan perkara itu hari ini.
"Dengan sukacita kami mengumumkan hadiah RM100,000 kepada Azizulhasni atas kemenangan bersejarahnya. Tahniah Azizul. Anda melakukan yang terbaik dan kami sangat berbangga dengan pencapaian anda," katanya dalam kenyataan disiarkan di laman sesawang yayasan berkenaan.
Azizulhasni membawa khabar gembira kepada Malaysia selepas menguasai tempat ketiga lumba basikal acara keirin Olimpik di Rio de Janeiro pagi tadi.
Kemenangan itu dicapainya walaupun berlaku beberapa gangguan dalam perlumbaan berkenaan.
Sebelum ini penerjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong sudah mengharumkan nama negara kerana memenangi pingat perak acara terjun 10 meter.
Musa berkata Azizulhasni - yang digelar Pocket Rocket Man - berjaya mencapai pingat gangsa walaupun wujud 'gangguan' dan pelumba itu tetap tidak menyerah sehingga ke garisan akhir.
"Pencapaian anda dalam keadaan begitu menjadikan anda lebih berhak untuk menang, dan seluruh negara meraikannya bersama anda," katanya.
Pada kejohanan dunia di London pada 2011 Azizulhasni terlilbat dalam kemalangan dengan tiga penunggang lain dan mengalami kecederaan parah.
Azizulhasni juga adalah sebahagian dairpada pasukan YSD Track Cycling Team-Road to London Olympics 2012 yang dibiayai YSD dengan nilai tajaan sebanyak RM2 juta untuk tempoh 2009 hingga 2012.
Untuk Olimpik di Brazil tahun ini YSD meneruskan tajaan bernilai RM2.85 juta untuk Azizulhasni dan seorang lagi pelumba basikal negara, Fatehah Mustapa.
Azizul juga adalah penerima Biasiswa 'Bintang' YSD bernilai RM456,000 untuk membantunya mengikuti pengajian sains sukan di Victoria University di Melbourne Australia.

